Terjebak dadah, Nia Ramadhani sedar dirinya manusia tak sempurna

PERNAH berdepan dengan kes penyalahgunaan dadah sehingga dijatuhkan hukuman penjara setahun, pelakon Indonesia Nia Ramadhani percaya apa yang berlaku dalam kehidupannya ada hikmah tersendiri.

Nia atau nama sebenarnya, Ramadhania Ardiansyah Bakrie, 34, berkata, dia kini tidak lagi memandang ke belakang dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Kita tidak sempurna kerana kita semua manusia,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui usai sidang media All Access To Rossa 25 Shining Years di sini kelmarin.

Ujar pelakon yang cukup dikenali menerusi drama fenomena, Bawang Merah Bawang Putih itu lagi, ketika episod hitam tersebut berlaku, dia mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagia daripada keluarga dan sahabat handai.

“Alhamdulillah, setelah kes yang saya lalui, saya sedar bahawa sistem sokongan saya sebenarnya sangat kuat.

“Ternyata ramai sangat orang yang sangat sayangkan saya. Jadi, apa yang berlaku memang ada hikmahnya buat saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ditanya tentang karier lakonan, Nia berkata, buat masa sekarang belum ada sebarang perancangan untuk dirinya kembali terjun dalam bidang tersebut atas faktor kekangan masa dan komitmen sebagai ibu tiga orang anak.

“Mudah-mudahan suatu hari nanti dapat berkunjung ke Malaysia. Lama dulu saya dikenali di sana disebabkan drama Bawang Merah Bawang Putih. Sudah berbelas atau berpuluh tahun lalu.

“Saya sudah ada tiga anak dan untuk berlakon, sebenarnya agak susah. Tapi, kalau ada masa dan waktu bersesuaian, mungkin boleh kembali semula (berlakon),” ujarnya.

Dua tahun lalu, Nia bersama suaminya, Ardi Bakrie serta pemandu peribadi mereka, Zen Vivanto akhirnya dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Pengadilan Negeri Jakarta Pusat.

Hidup serba mewah dan berstatus jutawan Indonesia, Nia berkahwin dengan Anindra Ardiansyah Bakrie pada 2010 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok