SAYA tidak mahu komen.”
Demikian reaksi pelakon Hafidz Roshdi atau nama lengkapnya, Muhammad Hafidz Roshdi, 30, ketika ditanya mengenai khabar angin isterinya, Athira Shuhada kini berbadan dua.
Enggan mengulas lanjut perkara itu, Hafidz berkata, dia dan isteri berada dalam keadaan baik.
“Kami baik-baik sahaja tetapi saya tidak mahu komen mengenai itu (hamil),” katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret Kuala Kudu Bahru, Hulu Selangor hari ini.
Perkembangan lain, pelakon filem Makrifat Cinta itu berkongsi tahap kesihatan mentalnya semakin baik dan masih mendapat rawatan di Hospital Shah Alam.
“Alhamdulilah, keadaan kesihatan saya sekarang bertambah baik.
“Tiada depresi tetapi saya masih mendapat rawatan susulan dan mengambil ubat yang disarankan doktor,” katanya.
Perkara itu turut disahkan peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader yang menegaskan anak guamnya berada dalam keadaan baik.
“Apa yang difahamkan, doktor mengatakan dia (Hafidz) kini semakin stabil dan baik. Dia juga ada menjalani rawatan sepatutnya,” ujar Akberdin.
Sebelum ini Hafidz mengakui berdepan masalah kesihatan mental selama tiga tahun bermula 2020.
Hasil pemeriksaan mendapati dia ada masalah bipolar atau perubahan emosi melampau. – HIBGLAM