Blues Gang bikin konsert sempena jubli emas

TEGAR memperjuangkan genre blues dan rock sepanjang lima dekad, kumpulan legenda Blues Gang bakal mengadakan konsert berskala mega di Zepp Kuala Lumpur pada 9 Ogos depan. 

Konsert berjudul Blues Gang Apo Nak Dikato hanya akan menampilkan tiga ahli iaitu Ito selaku vokalis, Julian Mokhtar (pemain gitar utama) dan Ghani Abu Talib (gitar kedua serta keyboard) selepas kematian dua lagi teman seperjuangan.

Vokalisnya, Ito atau nama lengkapnya Mohd. Arif Kendut berkata, konsert sempena 50 tahun itu direalisasikan bagi menamatkan kekeliruan ramai mengenai dakwaan pembubaran kumpulan mereka.

KONSERT Blues Gang Apo Nak Dikato hanya akan dijayakan Ito, Julian dan Ghani memandangkan dua anggota lain sudah meninggal dunia.

“Blues Gang tidak pernah bubar walaupun kehilangan beberapa ahli yang meninggalkan kesan mendalam buat kami. 

Selepas kematian pemain bass, Jim Madasamy pada 2019, kami kehilangan pemain dram dan pengasas bersama Blues Gang iaitu Shaikh Karim tahun lalu. 

“Sekarang kami tinggal bertiga. Konsert ini untuk mereka sekali gus kami mahu menghidupkan semula kenangan bersama,” katanya. 

Meskipun tarikh serentak dengan  penyanyi Ella mengadakan konsert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Ito percaya peminat bebas memilih berdasarkan selera muzik masing-masing. 

“Selalunya kami buat persembahan bersama kumpulan lain tetapi kali ini kami buat konsert solo. 

Kelainan konsert kami akan ada sesi jamming dan tambahan muzik etnik, gendang serta dikir barat yang dapat menarik peminat Blues walaupun bertindih tarikh dengan konsert lain. 

“Konsert ini membabitkan tiga atau empat artis lain seperti Lord Lokman, Sasha Zainal, pemain ‘flute’ dari Terengganu dan pemain gendang Kelantan. Anak bongsu saya juga terlibat selaku pemain gitar kedua,” ujarnya lagi. 

VOKALIS Blues Gang, Ito  membuat persembahan sempena sidang akhbar konsert Blues Gang Apo Nak Dikato yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini. 

Blues Gang dikenali dengan lagu seperti Khatulistiwa, Oh! Mama Saya Mahu Kahwin, Cinta Oh Cinta dan Mak Siti. 

Lagu-lagu siulan ramai seperti Ibu dan lagu ikonik, Apo Nak Dikato akan dipersembahkan, selain lagu Inggeris, Malaya Blues yang pastinya mengimbas semula nostalgia.

Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato anjuran AV Group itu berbesar hati akan menghadiahkan beberapa hadiah cabutan bertuah berupa gitar eletrik, keyboard serta banyak cenderahati kepada pembeli tiket bertuah.

Pemenang akan menerima hadiah pada hari konsert yang diserahkan  sendiri anggota kumpulan Blues Gang. 

Pengunjung boleh mendapatkan tiket berharga RM198 (Silver), RM268 (Gold), RM398 (Platinum) dan RM338 (Diamond), selain RM5,099 (Royal Box ruang eksklusif boleh memuatkan 8-10 orang) menerusi http://ilassotickets.com atau hubungi hotline +60 11-1329 7822.

Bagi memudahkan peminat, pihak penganjur juga membolehkan pembelian tikat secara ansuran sebanyak tidak kali menerusi laman web menggunakan aplikasi Atome. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok