Erysha Emyra tak tumpang populariti ibu

MASIH hijau di arena seni tanah air, tuah kian menyebelahi pelakon cantik Erysha Emyra apabila semakin menjadi sebutan impak fenomena deretan drama lakonannya.

Hadir dengan pakej bakat dan raut wajah jelita  tentu mudah sahaja bagi pemilik nama lengkap Nur Erysha Emyra Zakaria, 25,  itu mengumpul ramai peminat dalam tempoh singkat.

Hakikat sudah bergelar selebriti, mahu atau tidak, setiap gerak geri akan sentiasa dihakimi netizen yang pastinya rajin meninggalkan komen andai ada perkara tidak memuaskan hati.

Bahkah, bintang utama drama popular Aku Bukan Ustazah itu terpaksa menelan dakwaan khalayak mengenai penglibatannya dalam industri hiburan atas pengaruh bonda tercinta, Noniswara Baharudin.

Akui Erysha, bukan mudah untuknya berdepan dengan pandangan tersebut, namun dia memilih untuk tidak membesarkan isu, hanya fokus perkara yang membawa kebaikan untuk kerjaya.

MENGGALAS karakter solehah dalam banyak naskhah termasuk Aku Bukan Ustazah, nama Erysha kian meniti di bibir peminat setia drama Melayu. 

“Memang ada pihak yang menganggap saya mudah masuk industri sebab ibu saya pelakon. Saya tak boleh ubah pandangan mereka.

Bagi yang mengikuti Instagram saya pasti tahu yang saya jarang berkongsi perihal keluarga di media sosial, apatah lagi mahu mencanang saya ini anak Noniswara.

“Saya kalau boleh nak elakkan orang menyangka saya tumpang populariti ibu sendiri tapi rasanya bukan isu pun jika saya memilih masuk dunia lakonan atas pertolongannya. Asalkan ada bakat dan kesungguhan,” tegasnya.

Hakikat diri dilahirkan daripada perut seorang pelakon, wujud pula perbandingan yang masyarakat timbulkan antara si anak dengan ibunya.

Kekal tenang, Erysha menganggap perbandingan juga lumrah yang perlu dihadapi anak seorang pelakon apabila mereka melangkah ke dalam kelompok bidang kerja sama.

Memanglah akan ada rasa tertekan apabila si anak dibandingkan dengan ibunya. Tapi saya cuba untuk ambil perkara ini daripada sudut positif.

“Saya baru nak menapak, bermula pun agak perlahan. Banyak lagi perkara yang saya kena belajar. Berilah saya sedikit waktu,” ujarnya serius. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok