Memoir Seorang Guru, adaptasi novel luar biasa

EMPANGAN air mata audiens tidak mampu menahan linangan air mata syahdu mengamati pengorbanan insan bergelar cikgu dalam filem terbaharu berjudul Memoir Seorang Guru.

Naskhah sarat emosi yang diangkat Tanah Merah Ventures Sdn. Bhd. dengan kerjasama KalamAriff Holdings Sdn. Bhd. itu cukup menjentik kalbu penonton.

Bukan sekadar karya biasa, filem adaptasi novel judul sama sentuhan penulis popular, Allahyarham Azizi Haji Abdullah yang juga penerima Anugerah Penulis S.E.A 1988 menembusi segenap sanubari mereka yang menonton. 

Berkisar jerih perih guru bandar bernama Cikgu Sunan yang ditukar ke sebuah sekolah pedalaman dan ditugaskan menjadi guru kelas tercorot menjentik mata dan hati untuk mendasari cabaran seorang insan bergelar guru.

Dia ditugaskan untuk mengubah keputusan peperiksaan anak-anak didik, namun berhadapan kenakalan tiga pelajar yang sering membuat kekacauan. 

Penerbit Memoir Seorang Guru iaitu Datuk Arisz Ab. Rahman berkata, karya bertemakan guru diangkat kerana mudah dinikmati semua golongan masyarakat tidak kira umur dan bangsa. 

“Cikgu dalam Malaysia ada dalam kira-kira 400,000 dan pelajar sekitar 2 juta. Rata-rata rakyat adalah bekas pelajar. 

Saya mencari satu resepi yang semua boleh ‘makan tidak kira orang Melayu, Cina atau India. Jadi, naskhah ini mempunyai nilai. 

“Keduanya, naskhah guru jarang diangkat ke layar perak. Ini pula karya besar daripada sasterawan negara,” katanya. 

Dalam masa sama, semangat ingin menghasilkan naskhah daripada novel berat berkobar-kobar selepas Arisz berjaya menerbitkan drama Korban Kasih pada 2020 yang sangat diminati ramai. 

“Sebenarnya, saya sebelum ini jarang mengangkat novel yang berat. Kebanyakannya novel picisan atau komersial. 

Bermula 2020, saya cuba terbitkan naskhah Korban Kasih dan waktu itu pula Covid-19. Semua penonton menonton drama tersebut sehingga trending.

“Dari situ saya lihat karya sastera memiliki nilai yang boleh diterima rakyat Malaysia,” ujarnya lagi. 

Filem adaptasi novel judul sama sentuhan penulis popular, Allahyarham Azizi Haji Abdullah yang juga penerima Anugerah Penulis S.E.A 1988 menembusi segenap sanubari mereka yang menonton.

Keizinan

Ditanya mengenai proses meminta ‘izin’ mengolah karya sasterawan negara, Arisz mendedahkan itu bukan suatu proses yang mudah, namun semuanya berubah selepas dia berjumpa anak penulis novel tersebut. 

“Sebenarnya kalau karya Karangkraf melibatkan sasterawan negara harganya mahal. Saya bernasib baik apabila novel ini sudah habis kontrak bersama Karangkraf dan hak karyanya dipegang anaknya sendiri iaitu Anita. 

“Proses mencari Anita agak lama iaitu memakan masa selama tiga bulan. Saya nyatakan hasrat sampai ke Kulim untuk menerbitkan karya bapanya dalam bentuk filem dan dia bersetuju. 

“Semasa bercerita, dia siap tunjukkan bilik Azizi. Apabila sudah habis, saya tunjuk trailer kepadanya, dia menangis,” kongsinya. 

Bersempena meraikan Hari Guru pada 16 Mei lalu, Memoir Seorang Guru akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 30 Mei ini. 

Datuk Rosyam Nor menggalas watak utama iaitu Cikgu Sunan dan turut dibarisi bintang popular lain seperti Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimy, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi. 

Malah, pelakon kanak-kanak berbakat juga turut terlibat sama dalam menjayakan naskhah ini seperti Kiky Hannah, Danish Zamri, Hafiy Al-Tamis dan Baqri Jamalullail.

Memoir Seorang Guru hanya menjalani penggambaran selama 22 hari pada Disember lalu di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, Kuala Kangsar dan Perlis, namun meraih pujian ramai pada tayangan perdana baru-baru ini.  

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok