Tiada lagi ‘wajah kesayangan hamba’

Kalung dirimu sayang dengan cinta nan mesra, wajah kesayangan hamba, kini ku jumpa.”

Begitulah sedikit bait kata yang terukir dalam lagu Wajah Kesayangan Hamba nukilan Tan Sri Ahmad Nawab, bersama seorang juruhebah radio popular era 1970-an, Chauri Selamat.

Lagu Wajah Kesayangan Hamba menjadi antara ‘senjata utama’ bagi pemilik suara lunak lemak manis, Allahyarham Datuk Hail Amir yang sudah menghiburkan peminat hampir setengah abad lamanya.

Kelmarin (Isnin), tiada lagi ‘seloka Aidilfitri’ atau gema lunak suaranya. Semua tiba-tiba sepi apabila Hail menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekitar kira-kira 3.38 petang, selepas dimasukkan ke pusat rawatan berkenaan pada Sabtu akibat komplikasi paru-paru.

Ketika mendapat rawatan, rakan artis, pelakon Farouk Hussain berpeluang menziarahi Allahyarham. Namun, sayangnya apabila Farouk memaklumkan Allahyarham sukar untuk berkomunikasi dan mengalami kesukaran mengenali individu yang hadir menziarahinya.

TIADA lagi regu duet paling serasi sepanjang hayat, kehilangan Hail amat dirasai penyanyi Uji Rashid.

Kehilangan Hail tentunya menjadi satu hal yang menyentuh perasaan sahabat yang sudah lama ‘berjalan seiring’ dengan beliau iaitu Uji Rashid. Persahabatan 50 tahun mereka kini dibatasi pusara sepi.

Bercerita detik bersama Hail, Uji menjelaskan tahap kesihatan sahabatnya itu sudah terhakis dek usia.

Saya ada menziarahinya ketika dia di hospital. Dia tidak berapa ingat saya datang, ada yang ingat ada yang tidak. Mungkin kerana tahap kesihatan dan faktor usia mempengaruhi semua itu.

“Kami berkawan sudah lama, malah saya juga rapat dengan keluarga Allahyarham.

“Saya mengharapkan agar peminat, atau individu yang mengenali beliau secara peribadi, dapat menghalalkan segala makan, minum dan jenaka sepanjang hayatnya,” terang Uji yang juga pernah bergandingan bersama Hail dalam menyanyikan beberapa lagu seperti Manakah Cintamu, Antara Matamu Dan Mataku, Menunggu Nasi Minyak dan Katakanlah.

KONSERT Raya Sepanjang Zaman tahun lalu menjadi kenangan terindah buat Bob dan Ziana yang sempat beraksi bersama Hail Amir.

Mengakui pesona Allahyarham yang gemar berjenaka, penyanyi Bob Yusof memberitahu, Hail memiliki sikap yang suka memberi nasihat dalam usik-mengusik beliau.

“Beliau memiliki keperibadian seorang ayah yang gemar menasihati anak-anak. Malah, beliau menitikberatkan soal disiplin terhadap apa jua kerja yang dilakukan.

Arwah menegaskan kerjaya sebagai anak seni banyak cabaran dan dugaan. Jangan biarkan diri terpalit kontroversi sehingga mampu menjejaskan periuk nasi.

“Meskipun bergelar penghibur, namun tetap juga ada menjaga batas agar tidak keterlaluan kerana bidang hiburan ini adalah medan untuk kita mencari rezeki,” kata Bob kepada HibGlam.

TINGGAL kenangan. Hail (duduk, dua dari kiri) bersama pasukan bola yang dianggotai teman artis seperjuangan yang rata-ratanya sudah tiada lagi di dunia ini.

Meskipun sedikit terkilan apabila tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Allahyarham, namun kenangan indah saat berkongsi pentas di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) menerusi Konsert Raya Sepanjang Zaman pada Mei tahun lalu, menjadi satu detik tidak dapat dilupakan.

Sepanjang sesi latihan, beliau tidak pernah datang lambat. Jika ada mungkin lima atau 10 minit sedikit terlewat. Malah, apabila saya tiba dan bertanya, mereka mengatakan beliau sudah lama dan kerap sampai lebih awal berbanding masa ditetapkan.

“Ketika saya meluahkan hasrat untuk menziarahi beliau di hospital, saya maklumkan perkara itu kepada pengurus.

Namun, hajat itu tidak kesampaian apabila saya menerima khabar bahawa beliau telah meninggal dunia,” ujarnya.

Imej rambut afro wajah dan senyuman manis Hail Amir semasa muda kekal tersemat dalam ingatan peminatnya sampai bila-bila.

Tidak bersendiri, Bob turut berkongsi pentas persembahan Konsert Raya Sepanjang Zaman dengan Ziana Zain dan Sanisah Huri.
Berkongsi kenangan sepanjang kerjasama itu, penyanyi Ziana Zain turut mengakui berasa kagum dengan keperibadian Allahyarham sebagai penyanyi.

“Terus terang saya sangat hormat dengan keperibadian beliau dan Allahyarham juga antara penyanyi yang saya gemari selain Uji Rashid dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

Beliau pernah meluahkan harapan agar saya tidak berhenti menyanyi selagi masih mampu. Teruskan menghiburkan peminat yang sudah banyak memberi sokongan selain menjaga ‘adab’ sebagai penghibur.

“Individu seperti beliau ini juga pada saya, wajar untuk dianugerahkan gelaran Biduan Negara memandangkan beliau sudah menghiburkan jutaan peminat daripada generasi berbeza sejak 1970-an.

Malah lagu Seloka Hari Raya nyanyinya bersama Uji Rashid akan terus menjadi karya malar segar sepanjang zaman buat kita semua saat meraikan Aidilfitri,” tutur ibu kepada empat cahaya mata itu.

SAHABAT-handai dan peminat yang hadir memberikan penghormatan terakhir buat Hail Amir di Masjid Ukay Perdana, Ampang semalam

Mendengarkan kata itu, dapat dipastikan bahawa Allahyarham memiliki pesonaliti yang cukup menyenangkan mereka di sekeliling.

Selain berbakat dalam bidang nyanyian, beliau juga aktif sebagai pelakon dan pernah muncul dalam beberapa filem antaranya, Jiwa Remaja (1975), Cinta Dan Lagu (1976), Menanti Hari Esok (1977), Sesejuk Air Mata Ibu (1981), Ke Medan Jaya (1983) dan Jaket Biru (1991).

Hayat berakhir pada usia 77 tahun, Hail meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Semalam, jenazah Allahyarham disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang.

Selamat berpulang duhai ‘biduan kesayangan hamba’, al-Fatihah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok