Program amal SRIM santuni 21 penggiat industri muzik

TAHUN ini Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) meneruskan misi amal Sumbangan Rahmah Industri Muzik (SRIM) bagi membantu pengamal industri muzik yang terdiri daripada penyanyi, pemuzik pencipta lagu sehingga pegawai perhubungan awam syarikat rakaman.

Golongan sasaran terpilih adalah mereka yang berhadapan kesusahan hidup akibat pelbagai faktor.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, SRIM merupakan inisiatif bantuan Dana Kecemasan RIM yang disokong PPM dan Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) dengan menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM10,000 buat penggiat industri.

“Program amal SRIM bertujuan menyokong Kerajaan Perpaduan dengan inisiatif Negara Madani bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat termasuk penggiat industri muzik.

“Program ini terbuka kepada penggiat seni daripada penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, pegawai perhubungan awam syarikat rakaman sehinggalah wartawan hiburan yang berperanan penting dalam pembangunan industri muzik tempatan.

“Dengan penganjuran SRIM 2024, kami meneruskan usaha untuk menyediakan bantuan yang amat diperlukan penggiat industri muzik tempatan yang layak bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika meraikan penggiat industri muzik tempatan bersama Public Performance Malaysia (PPM) dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 22 April lalu.

RIM meneruskan program amal SRIM bagi membantu pengamal industri muzik yang menghadapi kesusahan akibat pelbagai faktor.

Setakat ini, seramai 48 penggiat industri muzik tempatan mendapat manfaat daripada SRIM dan Dana Kecemasan RIM.

Pada majlis yang dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali, seramai 21 penerima diundang sebagai tetamu kehormat.

Antara penerima sumbangan kali ini termasuklah, Roy Rauzan, Fredo Flybaits, Shuib Freedom, Isma Aliff, Azman Warren Lord Raja Zainal Bumiputera Rockers, Cico Harahap dan Abass Abu Bakar Mamu, selain wartawan hiburan, Nas Ahmad, Huzz Kamaludin dan Dwan serta komposer, Lokman.

Seramai 11 orang lagi penerima sumbangan itu termasuk, S. Rohani, To’ki, Mel Wings, Rosmansah Manpare, Zydee One Nation Emcee (penyanyi), Jessy, Iskandar Spring, Pegawai Perhubungan Awam, Sariah Idris dan Rina Baharin.

Pengiktirafan istimewa

Selain itu, pengiktirafan istimewa turut diberikan kepada dua artis tempatan yang cemerlang, Ernie Zakri dan Dolla yang mencapai kemajuan besar di pasaran antarabangsa.

PENGIKTIRAFAN istimewa turut diberikan kepada Dolla yang mencapai kemajuan besar dalam pasaran muzik antarabangsa.

Baru-baru ini, Ernie mengungguli carta radio Gen 98.7FM di Indonesia dengan lagu Masing Masing yang berduet bersama Govinda.

Dolla yang mempunyai ramai peminat di luar negara pula mewakili Malaysia dalam program realiti popular Show It All di China.

Pencapaian terbaharu mereka membuktikan keupayaan bakat-bakat Malaysia untuk menembusi pasangan serantau dan global.

Majlis turut dihiburkan dengan kemunculan penyanyi Amir Masdi, Ernie Zakri, Dolla, Syamel, Dina dan Xpose, Datuk Aishah dan Jay Jay. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok