BUKAN mudah untuk membina nama sebagai penghibur terkenal. Semua itu memerlukan gandaan usaha dan semangat juang berterusan.
Perkara sama perlu dihadapi penyanyi jelita asal Filipina, Moira yang mengakui sukar meraih perhatian ramai pada awal kemunculan sekitar tahun 2010, bahkan berkali-kali berdepan kegagalan.
Pun begitu, berbekalkan tekad selain percaya dengan bakat dimiliki, pemilik nama penuh Moira Rachelle Bustamante Cruzado Dela Torre terus menelan segala pahit dan sehingga kini menjadi antara penghibur kegemaran ramai terutama golongan muda.
Meneruskan kecemerlangan karier selepas mencipta kejayaan di negara kelahirannya, Moira enggan menunggu lama untuk bertemu dengan peminat di seluruh dunia.
Hadir ke Malaysia menghiburkan pemuja bakatnya yang sudah lama menantikan saat indah itu menerusi penganjuran konsert jelajah Moira World Tour 2024.
Lebih mengujakan, Kuala Lumpur merupakan lokasi pertama dipilih bagi menjayakan persembahan mega yang berlangsung pada 20 April lalu di The Exchange Hall.
Meskipun perasaan teruja membuak-buak, wanita berusia 31 tahun itu bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan rasa gementar kendatipun lebih sedekad berkelana dalam industri hiburan.
Seperti bermimpi, wanita peramah itu sebenarnya tidak menyangka mempunyai ramai penggemar tegar dari negara ini yang dikatakan memahami alur perjalanan kariernya.
“Walaupun ini merupakan konsert pertama saya di sini, tetapi sebelum ini saya pernah datang ke Kuala Lumpur sebagai pelancong.
Bagi saya, pemilihan bandar raya indah ini sebagai lokasi pertama siri jelajah konsert saya amat tepat kerana saya begitu dekat dengan peminat di sini.
“Kalau diikutkan, Malaysia sepatutnya menjadi lokasi terakhir untuk siri jelajah konsert saya tahun lalu, namun ada beberapa situasi tidak mengizinkan untuk saya membuat persembahan di sini ketika itu,” ujarnya panjang lebar.
Moira World Tour 2024 yang mendapat sambutan disertai dengan persembahan pembukaan oleh TJ dan artis tempatan Ismail Izzani.
Menerusi konsert itu, Moira menyanyikan lebih 20 buah lagu selama 90 minit sebelum berkunjung pula ke California pada 18 Mei nanti.
Dalam pada itu, penyanyi terbabit mengakui turut menyatakan rasa teruja dan gementar bertemu peminatnya di sini.
“Jujur, saya memang tidak boleh menyembunyikan rasa gemuruh ini, maklum sahaja, ini kali pertama bertemu peminat saya di sini.
Jadi, saya mohon maaf kepada peminat yang sudah pun membeli tiket untuk menonton konsert saya tahun lalu dan inilah janji yang saya kotakan tahun ini.
“Ramai yang sudah lama menunggu terutama sejak tahun lalu, dan pastinya ramai yang meletakkan jangkaan tinggi untuk konsert kali ini,” katanya yang mengakui jatuh cinta dengan budaya dan makanan Malaysia.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM