SERING disangka hamil kerana mengalami perubahan bentuk badan selepas melahirkan zuriat sulungnya, Nur Khawla Soleha, penyanyi Ernie Zakri menegaskan tidak merancang menambah ahli keluarga baharu dalam masa terdekat.
Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, ketika ditemui berkata, selain mahu tubuhnya berehat, dia juga menunggu masa sesuai sehingga Khawla, 2, sudah faham dirinya bakal bergelar kakak suatu hari nanti.
“Ramai sangka saya berbadan dua tetapi sebenarnya belum lagi. Insya-Allah, akan datang. Lagi pun Khawla baru berusia dua tahun.
“Saya merancang nak tunggu Khawla besar sikit, sekurang-kurangnya sehingga dia faham ibunya sedang hamil. Ketika itu barulah saya bersedia tambah anak.
“Lagi pun saya kena hormat tubuh saya juga selepas melahirkan Khawla dua tahun lalu,” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, Ernie yang ditemui semasa majlis pelancaran tudung koleksi Ernie Zakri X Ayuwan, di pusat beli-belah Sogo, baru-baru ini tidak menolak seandainya diberikan rezeki lebih awal.
“Saya tidak menolak sekiranya diberikan rezeki lebih awal oleh Allah untuk timang cahaya mata kedua. Lagi pun suami (Syamel) tidak memaksa kerana dia faham saya akan hamil apabila sudah bersedia nanti,” ujarnya.
Kata pelantun lagu Astana itu lagi, dia juga perlu bersedia mental dan fizikal untuk menambah cahaya mata selepas melalui pengalaman melahirkan Khawla pada 22 Februari 2022, selain kesibukannya dan suami sebagai penyanyi.
“Saya kena bersedia mental dan fizikal memandangkan pengalaman melahirkan Khawla dahulu. Saya ambil masa yang agak lama selepas berpantang untuk dapatkan semula tenaga.
“Saya dan juga suami memang merancang kerana kami ada kerjaya masing-masing. Jadi tidak boleh sesuka hati untuk tambah anak.
“Lagi pun Khawla dalam fasa untuk memahami ibunya sering keluar bekerja dan belum faham lagi jadual kerja saya. Jadi saya nak dia faham tentang kehidupan itu dahulu dan memahami erti menjadi seorang kakak,” jelasnya.
Sebagai info, juara Bintang RTM 2009 itu mendirikan rumah tangga dengan Syamel pada 26 Mac 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Masjid Puncak Alam, Selangor.
Ernie kemudian selamat melahirkan puteri sulungnya di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada 22 Februari 2022. – HIBGLAM