TIDAK pernah memiliki buah tangan khas bernuansa hari kebesaran seperti Aidilfitri bukan bermakna kugiran legenda tanah air, Search enggan menyertai arus lagu sedemikian.
Ironi, dalam usia lebih tiga dekad tanpa kelahiran lagu raya, Search sudah cukup bermakna buat peminat.
Tahun 2024 bagaimanapun menjadi momen bersejarah buat semua apabila kugiran yang dianggotai Datuk Amy, Nasir, Man Kidal dan Hillary itu menerbitkan karya debut sempena meraikan hari kemenangan bagi umat Islam.
Atas faktor usia barangkali, Sujud Aidilfitri menjadi karya Aidilfitri sulung Search sempena Aidilfitri tahun ini.
Tidak meninggalkan kentalnya genre rock dan balada serta ciri khas vokal Amy yang sudah sebati dengan Search menerusi lagu-lagu yang telah dihasilkan sejak lebih 30 tahun lalu, Sujud Aidilfitri juga sarat nuansa serupa.
Tidak ada yang ekstravaganza mengenai Sujud Aidilfitri, namun mesej yang ingin disampaikan Search kepada seluruh pendengar sampai menerusi bait lirik yang dihasilkan.
“Sujud Aidilfitri memiliki lirik yang lebih menyentuh dan beremosi sesuai dengan suasana hari kemenangan.
Lirik dalam Sujud Aidilfitri bersifat muhasabah diri, merenung kekhilafan yang telah dilakukan seterusnya dengan rendah hati memohon kemaafan.
“Ini Aidilfitri, hari kemenangan dan 1 Syawal secara tradisi dimulakan dengan bermaafan sebelum umat Islam menyambutnya dengan penuh bahagia.
“Inilah yang disampaikan dalam Sujud Aidilfitri. Sebuah sengketa dapat terhapus dengan satu kemaafan yang sejati,” ujar vokalis Search, Amy.
Menurut Search lagi, keputusan merakamkan Sujud Aidilfitri adalah sebagai sebuah usaha menghidupkan budaya memiliki lagu raya yang semakin jarang dirakamkan kerana pendengar lebih memilih mendengar lagu raya lama yang bersifat malar segar.
Tidak dinafikan saban tahun akan ada lagu raya baharu dirakamkan tetapi dengan genre atau suasana lagu yang lebih cenderung meriah atau bersifat keraian.
“Jadi Search memilih nuansa yang lebih kental dari segi melodi dan lirik sesuai dengan kematangan kami,” ujar pemain bass, Nasir pula.
Sujud Aidilfitri diilhamkan sepenuhnya oleh Jun dan Search, termasuk Rie Tsuji yang meminjamkan kepakaran dari segi susunan muzik dan Rozhan (mixing).
Dipasarkan Universal Music, Sujud Aidilfitri turut hadir dengan sebuah klip video yang menjalani penggambaran di Terengganu.
Search amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu kerana kolaborasi yang terjadi untuk melancarkan klip video Sujud Aidilfitri.
“Kami sengaja memilih Terengganu kerana mahu memiliki suasana desa, damai dan bersesuaian dengan keseluruhan konsep lagu Sujud Aidilfitri,” ujar Search mengenai klip video diarahkan oleh Datuk M. Razlan Ismail tersebut. – HIBGLAM