Sakit mata tengok dekorasi raya KLCC – Tiz Zaqyah

 

PELAKON Tiz Zaqyah menzahirkan rasa kecewa melihat dekorasi sempena sambutan Ramadan dan Aidilfitri di pusat beli-belah terkemuka, KLCC tidak segah sambutan perayaan lain di negara ini.

Tidak berniat menyentuh isu perkauman di Malaysia, Tiz atau nama lengkapnya Siti Zaqyah Abd. Razak sependapat dengan ramai netizen yang turut kecewa dengan hasil dekorasi Raya KLCC 2024 berkonsepkan pelita gergasi, namun kelihatan ‘asal boleh’.

Sedih pula tengok video ini. Sudah beberapa hari saya melihat orang ramai berkongsi dan meluahkan rasa kecewa  dengan dekorasi Raya KLCC tahun ini.

“Dengan segala sumber kemahiran yang kita ada, ini hasilnya? Maaf, tapi hasilnya sangat menyakitkan mata,” kongsi Tiz dalam Instagram miliknya.

Ujar pelakon drama Liar itu lagi, hasil dekorasi  Ramadan dan Aidilfitri itu langsung tidak seperti apa yang  diharapkan kerana sepatutnya perayaan terbesar di negara ini harus  meriah dan indah.

Hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Saya tidak faham apa sebenar yang cuba disampaikan. Kongsikan pandangan anda juga okey.

“Lihat pada akhir video, gambar saya di hadapan KLCC ketika sambutan Tahun Baharu Cina pada 2022. Nampak perbezaannya? Saya sanggup berhenti untuk merakam gambar,” katanya.

Meninjau  ruangan komen, ramai pengikutnya turut sependapat bahawa dekorasi Raya KLCC 2024 tidak seperti apa yang diharapkan, terutama bagi penganut agama Islam yang menyambut Lebaran di negara ini.

Lebih mengecewakan, konsep ‘pelita gergasi’ yang dibuat pada tahun ini sebenarnya sama dengan konsep  tahun lalu yang turut menggunakan idea serupa, namun hanya ditukar warna sahaja.

Bagaimanapun, dalam satu ruangan komen dalam laman rasmi Facebook Suria KLCC memaklumkan bahawa replika bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri itu masih dalam proses persiapan.

Sila ambil perhatian bahawa hiasan raya (Aidilfitri) kami masih dalam proses. Sila datang sekali lagi ke Suria KLCC untuk melihat rupa terakhir replika pelita terbesar 50 kaki di Malaysia,” tulisnya di ruang komen.

Sebelum ini, Suria KLCC pernah mencipta rekod apabila replika ketupat gergasi telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok