Markah Hasrat, Sutera hampir sama – Ketua juri AJL38

MELODI yang ‘catchy’ dan mampu membawa perubahan kepada industri muzik tanah air.

Itu antara elemen terkuat yang dimiliki lagu Hasrat ciptaan sepenuhnya Amir Jahari sehingga berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu-38 (AJL38) di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, semalam.

Menurut ketua juri AJL38, Datuk Mokhzani Ismail, pemilihan Hasrat sebagai juara adalah tepat kerana memiliki muzik berkualiti.

Hasrat adalah ciptaan Amir yang berkualiti dan sejak awal memang dapat rasa ‘sesuatu’ apabila mendengar lagu itu.

“Bukan nak cakap lagu lain tak bagus tetapi Amir berjaya hasilkan karya yang membuat melodi dan liriknya terngiang-niang di telinga saya sejak peringkat separuh akhir lalu.

“Lagu itu senang diingati sebab ‘catchy’ dan terbaik dalam garapan melodi serta liriknya ditambah pula dengan iringan muzik orkestra. Jadi, semua juri bersepakat dan berstuju dengan keputusan itu,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Dalam pada itu, Mokhzani berkata, jumlah markah keseluruhan yang diraih Hasrat sangat hampir dengan markah pemenang naib juara iaitu Sutera ciptaan Aisha Retno dan MFMF serta tempat ketiga iaitu Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul).

“Untuk kutipan markah, memang tak jauh beza dengan Sutera yang membawa dengan satu dimensi baru dan bawa suntikan baharu dalam industri muzik.

“Manakala Aina pula datang dengan pakej yang hebat tetapi markahnya berada di bawah kedudukan daripada Hasrat dan Sutera.

“Apapun, kami yakin dengan keputusan ini,” ujarnya.

Semalam, Hasrat yang juga runut bunyi filem Imaginur diumumkan sebagai pemenang AJL38 sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi.

Aisha yang juga naib juara turut membolot kategori Persembahan Terbaik dan meraih hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM62,000.

Manakala, Aina yang juga komposer dan penulis lirik Jangan Mati Rasa Itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 dan trofi atas kemenangannya di tempat ketiga .

Lebih manis apabila penyanyi yang memilih tema ‘tree of life’ dengan latar musim luruh mempertahankan trofi Vokal Terbaik bersama ganjaran RM12,000 yang diraih dalam edisi AJL tahun lalu.

Melengkapkan lagi kemenangan apabila dia turut diumumkan sebagai penerima trofi Penyanyi Pilihan Alha Alfa yang menawarkan hadiah sebanyak RM12,000. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok