Tonton konsert artis tempatan tiada kelas? – Uyaina Arshad

“SAYA tak malu mengaku anak kampung.”

Demikian respons pelakon dan pengacara Uyaina Arshad yang dilabel anak kampung selepas dilihat hadir ke konsert UK’Slam Musical pada awal Februari lalu.

Pemilik nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 32, itu mengakui tidak terguris hati sebaliknya berasa bangga digelar sedemikian.

“Dia hina saya anak kampung pergi konsert UK’Slam. Memang saya anak kampung dan berasal dari Kuala Kangsar.

“Saya tak rasa perkara itu satu masalah dan memalukan pun malah berbangga mengaku saya anak kampung,” katanya.

Dalam masa sama, pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu menegaskan kehadirannya ke konsert UK’Slam adalah sebagai tanda sokongan buat penyanyi lokal.

“Kalau pergi konsert artis tempatan tiada kelaskah? Bagi saya kalau kita tak sokong penggiat tempatan, siapa lagi nak sokong?

“Kalau konsert Korea dan US (Amerika Syarikat) semua boleh pergi, tak mungkin dari Malaysia kita tidak boleh pergi,” katanya.

Sementara itu, Uyaina turut memohon orang ramai menjaga pertuturan agar tidak menyakiti hati individu lain.

“Kadang-kadang apa yang kita cakap boleh beri kesan kepada orang lain.

“Kalau selalu cakap benda jahat, pasti orang itu akan rasa kurang semangat.

“Berdiam lebih baik kalau tiada apa yang ingin cakap,” tuturnya.

Pada 3 Februari lalu, Uyaina menghadiri Concert UK’Slam Musical di Stadium Malawati Shah Alam bersama suami dan rakan-rakannya.

Bagaimanapun, ada individu yang melabel pengacara Wanita Hari Ini itu ‘kampung’ kerana menghadiri konsert tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok