Cukuplah! Tiada apa lagi yang mahu dibuktikan – Wings

TAHUN 2025, genap 40 tahun kumpulan muzik rock legenda, Wings memperjuangkan muzik mereka dalam industri.

Beratus-ratus lagu dengan sentuhan karya yang dianggap magis telah mereka hasilkan. Malah, sehingga kini karya dendangan Wings masih lagi menjadi siulan bukan sahaja peminat seusia mereka, bahkan juga buat pencinta muzik masa kini.

Dalam tempoh hampir empat dekad memahat nama dalam industri, Wings yang dianggotai Datuk Awie selaku vokalis, Eddie (bes), Black (dram) dan Edrie (gitar) sudah puas mengecapi pelbagai kejayaan.

Populariti penuh gemilang yang diraih Wings membuatkan kumpulan itu tidak lagi mengejar apa-apa dan merancang untuk memperlahankan kembara seni mereka dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

WINGS yang dianggotai (dari kiri) Black, Sham, Awie, Edrie Hashim,dan Eddie masih digilai ramai selepas hampir empat dekad memahat nama dalam industri.

Vokalis Wings, Datuk Awie ketika ditemui baru-baru ini memberitahu, dia memberi tempoh 10 tahun untuk kumpulannya terus bergiat aktif, sebelum mereka mengambil keputusan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia muzik.

“Tahun ini, sudah 39 tahun kami berada dalam industri sebelum memasuki usia empat dekad pada tahun hadapan. Tiada apa lagi yang mahu kami kejarkan sekarang.

Buat masa ini, fokus kami adalah menjaga kesihatan masing-masing dan terus berkarya untuk peminat.  Harta dunia bukan lagi keutamaan.

“Justeru, kami beri tempoh 10 tahun untuk Wings terus aktif sebelum perlahan-lahan mengundurkan diri,” katanya.

Kata Awie, perancangan tersebut bukanlah bermakna dia akan terus lenyap dari radar industri seni hiburan.

AWIE mengakui Wings sudah puas menikmati populariti dan tiada apa lagi yang mahu dikejarkan selepas ini.

Cuma, selepas 10 tahun akan datang, dia bersama anggota lain akan memperlahankan rentak atas faktor usia, selain mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan mengejar saham akhirat.

Kami semakin berusia. Saya sendiri sudah tidak mahu lagi galak mengejar tawaran persembahan dan hanya mengintai ruang untuk bersara.

“Masing-masing punya keluarga. Kami mahu melihat anak meningkat dewasa dan mencari kestabilan hidup.

“10 tahun lagi, usia saya sudah 66 tahun. Cukup-cukuplah kami aktif seperti sekarang. Tidak ada apa lagi yang mahu kami kejar atau buktikan,” katanya yang bakal muncul dengan konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter pada 24 Februari nanti. 

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok