Fasha Sandha, ‘daring’ hanya lakonan

NAMA Fasha Sandha tidak pernah merudum dalam industri hiburan tanah air. Lakonannya daripada selembut-lembut watak sehinggalah ke peranan antagonis, semuanya dijiwai dengan sempurna.

Seiring gemerlapnya karier lakonan, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu tidak pernah sunyi daripada dihimpit kontroversi mahupun kecaman yang terbit dari bibir ramai netizen.

Utuh meledak apabila drama lakonannya, Rampas Cintaku yang ditayangkan dalam platform IQIYI menjadi fenomena dengan 100 juta tontonan digital, lakonan aksi panas Fasha dalam Rampas Cintaku 2 sekali lagi mengundang kata nista netizen.

TIDAK kisah dilabel pelakon ‘daring’, Fasha tidak akan sesekali melenting kerana malah menganggap babak panas dalam drama yang tular sebagai sebahagian daripada bentuk promosi.

Kendatipun sering disua naskhah sebegitu yang sarat kontroversi dan melibatkan aksi ranjang, aktres berusia 40 tahun itu lebih daripada bersedia andai adegan digalas terlalu beraninya itu dikritik netizen.

Hanya ikut skrip

Ujar Fasha, dia hanya memenuhi kehendak skrip yang diamanahkan sutradara kepadanya selain menyifatkan watak Datin Safieya dalam naskhah terbabit sebenarnya sarat pengajaran.

Setiap naskhah dihasilkan pasti punyai pengajaran tersendiri. Tugas saya adalah untuk menyampaikan mesejnya. 

“Saya yakin babak panas dalam drama itu kelak akan diperkatakan tetapi terpulang kepada penonton, terima dari sudut positif atau negatif.

“Kalau babak sedemikian tular, saya anggap sahaja sebagai sebahagian daripada promosi drama terbabit. Saya memang harapkan cerita ini menjadi fenomena seperti musim pertama,” ujarnya tenang.

MENYIFATKAN babak panas dan adegan ranjang sebagai tuntutan skrip, Fasha hanya lunaskan tanggungjawab sebagai penyampai watak malah bersedia berdepan kecaman.

Tidak kisah dilabel kebulur perhatian kerana nama meledak disebabkan adegan sedemikian, isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu terbuka menerima pandangan umum sekali gus menganggap tohmahan dilempar sebagai lumrah pekerjaannya.

Saya okey sahaja, tiada masalah dengan label yang orang berikan. Mereka bebas berkata apa pun.

“Saya hanya ikut skrip, sekadar lunaskan tanggungjawab sebagai pelakon. Saya buat bukan kerana orang lain, tapi untuk diri dan kerjaya saya. Datanglah sebanyak mana label yang orang berikan, saya tetap jadi diri sendiri.

“Lakonan adalah periuk nasi saya sejak berumur 18 tahun. Saya seronok dengan kerjaya ini. Terpulang kalau nak label saya pelakon ‘daring’. Saya tak akan sesekali melenting kerananya,” ujarnya panjang lebar.

Artikel penuh, layari www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok