The Rose bakal hangatkan Bukit Bintang

PENGARUH The Rose sebagai idola K-pop barangkali belum mendunia seperti BTS, namun khalayak tidak boleh menafikan bahawa karya dan nuansa muzik unik mereka mempunyai pengikut tersendiri, termasuk di Malaysia.

Menunaikan permintaan ramai peminat di negara ini untuk menyaksikan persembahan mereka secara langsung, The Rose bakal berlabuh di Malaysia menerusi siri jelajah konsert The Rose Dawn to Dust Tour di Megastar Arena pada 31 Januari ini.

Kuala Lumpur menjadi antara salah satu lokasi persinggahan The Rose di Asia Tenggara seterusnya Amerika Utara dan Eropah.

Kumpulan fenomena itu dianggotai empat jejaka tampan iaitu Kim Woo-sung sebagai vokalis dan pemain gitar, Park Do-joon pemain keyboard dan vokalis kedua, Lee Ha-joon bertindak selaku pemain dram serta Lee Jae-hyeong pemain bass.

Lebih menarik, anggota kumpulan tersebut difahamkan bertemu ketika acara ‘busking’ di Seoul seterusnya serasi bersama, sebelum bernaung di bawah label mereka sendiri, Windfall dengan kerjasama Transparent Arts.

Menjadi nilai tambah kepada The Rose, populariti mereka bukan sekadar secara berkumpulan, malah setiap anggota menempa kejayaan tersendiri dalam industri hiburan Korea Selatan.

Woosung pernah berkolaborasi dengan komposer terkenal Jepun, mendiang Ryuichi Sakamoto dan anggota kumpulan BTS, Suga untuk lagu Snooze, selain meminjamkan suaranya menerusi siri animasi dibintangi Ali Wong.

Manakala Do Joon, Ha Joon dan Jae Hyeong pula pernah muncul dalam beberapa K-drama dan siri web.

Pada 2022, The Rose diumumkan sebagai Band of the Year dalam Premio Annual K4US Brazil selepas membuat persembahan acara Lollapalooza yang diadakan di Chicago, Sweden, Brazil Chile dan Argentina, serta Festival Jazz Montreux di Switzerland dan BST Hyde Park di England.

The Rose mempunyai dua album studio berjudul Heal dan Dual, dua EP Void dan Dawn, sebuah album tunggal, Red serta beberapa hits popular yang berjaya mendaki carta muzik teratas peringkat global.

Sepanjang siri jelajah The Rose Dawn to Dust Tour , The Rose menghiburkan para peminat yang dikenali sebagai ‘Black Roses’ dengan rangkaian lagu popular mereka.

The Rose terkenal dengan lagu-lagu Inggeris dan Korea yang penuh emosi seperti Back to Me, Red, She’s in the Rain dan single sulung Sorry terbitan 2017 yang melonjakkan nama mereka sehingga dikenali ramai.

Konsert The Rose Dawn to Dust Tour yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur nanti menawarkan harga tiket bermula dari RM298 sehingga RM898.

Tiket menonton persembahan mega tersebut sudah mula dijual pada 6 Januari lalu menerusi www.ticketingtix.com.

The Rose bakal membawa katalog bahasa Inggeris dan Korea yang sarat penceritaan dan variasi vokal setiap anggota.
Kuala Lumpur menjadi antara lokasi persinggahan The Rose di Asia Tenggara dalam siri jelajah kali ini selain bandar utama seluruh Amerika Utara, Eropah dan  Asia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok