SAYA terfikir kenapa bakat Bintang RTM tidak menyerlah padahal mereka sangat berkualiti dan bervokal hebat.”
Itu kata penyanyi Datuk Syafinaz Selamat yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang dimahukan pencinta muzik tanah air.
Malah, Syafinaz, 51, berpendapat banyak bakat telah dibazirkan dek cita rasa pendengar yang sentiasa berubah.
Kalau mahu jadi penyanyi kriteria utama adalah vokal. Tapi perkara tidak penting seperti paras rupa serta sikap peserta yang lebih dipandang orang ramai.
“Itu yang agak mengelirukan saya sebagai juri,” katanya kepada HibGlam.
Pada masa sama, guru vokal berpengalam yang juga juri tetap Bintang RTM 2024 itu turut menzahirkan rasa simpati terhadap peserta berkualiti yang tersisih meski sudah beberapa kali tular dalam media sosial.
“Sebenarnya saya kasihan kepada bakat keluaran RTM, sayang sebenarnya bakat mereka dibazirkan begitu sahaja.
Saya tidak ingat Bintang RTM tahun bila, sewaktu menjadi tenaga pengajar, peserta program tersebut sangat bagus tapi sampai sekarang tidak mendapat tempat dalam industri.
“Walaupun saya nampak dia sudah beberapa kali viral, tapi masih tidak dapat menonjol dan tidak disebut-sebut oleh orang ramai,” katanya ketika ditemui pada sidang media Bintang RTM 2024, petang tadi.
Seramai 14 bakat muda terbaik telah dipilih pihak penerbitan Bintang RTM 2024 terdiri daripada peserta berumur 15 hingga 25 tahun.
Mereka ialah Akma Natasha, 25, Nuhammad Zulfeka 23, Mohd Azumi Shazani, 26, Norzizi Safira, 22, Sharifah Nurilmuhayati, 26, dan Muhammad Hadi Hafsham, 21.
Selain itu Muhammad Harris Mukhriz, 20, Muhammad Shahrezza, 22, Roziena Ixzy, 26, Mohd Enrien Syah, 24, Dayang Irsyadhania, 16, Mohammad Said Suhazie, 21, Eyia Eyre Guntabid, 23, dan Nur Shahirah, 23.
Bintang RTM 2024 mengangkat format pertandingan berbeza berbanding program pertandingan nyanyian lain masa kini.
Setiap minggu, peserta diberi kebebasan memilih sendiri genre dan lagu.
Dikemudikan Awal Ashari selaku pengacara, konsert minggu pertama bakal menemui penonton setiap Sabtu bermula 13 Januari ini. – HIBGLAM