D’ Masiv kembali hangatkan Kuala Lumpur tahun 2024

KUMPULAN pop rock sensasi Indonesia, D’Masiv bakal kembali menghiburkan peminat setia di Malaysia dengan persembahan  mengasyikkan menerusi Konsert Cinta Sampai Di Kuala Lumpur.

Bakal direalisasikan iFix Entertainment dengan kerjasama Panggung Asia, lima sekawan yang popular dengan Cinta Ini Membunuhku itu akan menggegarkan Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 4 Februari 2024.

Penganjur dalam kenyataannya berkata, persembahan berskala mega itu  dijangka sarat dengan pengalaman audiovisual yang menggabungkan bunyi dan emosi sekali gus berbeza dengan aksi sebelum ini.

Gabungan audiovisual

“Kami berharap peminat D’Masiv di Malaysia tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan menarik band ini secara langsung di Kuala Lumpur. 

“Malah, dijangkakan konsert ini juga bakal menghimpunkan penggemar dari negara jiran termasuk Singapura,” katanya. 

Ditubuhkan pada 2003, D’Masiv  dianggotai Rian Ekky Pradipta selaku penyanyi, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).

Sepanjang dua dekad dalam arena muzik, mereka telah menghasilkan tujuh album iaitu Perubahan pada 2008, Perjalanan (2009), Persiapan (2012), Hidup Lebih Indah (2014), D’masiv (2016), Love (2019) dan terakhir, Time (2022).

Antara seleksi hit yang menjadi siulan peminat hingga ke hari ini adalah Pergilah Kasih, Cinta Sampai Di Sini, Merindukanmu, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku.

Kali terakhir kumpulan asal Jakarta itu beraksi di negara ini adalah pada Jun lalu bersempena sambutan ulang tahun ke-20 mereka dalam industri seni suara.

Dalam kunjungan itu, tiket menyaksikan konsert mereka ‘licin’ disambar peminat dalam tempoh 48 jam sebaik penjualan tiket secara maya dibuka. 

Tidak hairan sambutan peminat sangat luar biasa berdasarkan pencapaian D’Masiv yang meraih pelbagai anugerah termasuk Double Platinum RBT Awards bagi album  Perubahan selain Lagu Terbaik Anugerah Muzik Indonesia (AMI) 2010.

Pada acara pengiktirafan sama, mereka turut meraih  trofi (Jangan Menyerah), Group Band Terbaik selain Karya Produksi Terbaik (Jangan Menyerah).

Jelajah AS, Eropah

Terdahulu, mereka baru menyempurnakan siri jelajah di Amerika Syarikat (AS) bermula di Philadelphia pada 10 September disusuli persembahan di New York dan Los Angeles.

Pada Oktober, D’ Masiv terbang ke Eropah bagi melengkapkan jelajah di Manchester, Hamburg, Kiel, Amstelveen dan Paris sebelum singgah di Melbourne dan Sydney, Australia serta Singapura.

Sementara itu, tiket bagi menyaksikan Konsert Cinta Sampai Di Kuala Lumpur bermula pada harga RM159 untuk berdiri, selain RM139 (duduk am) dan RM199 (duduk premium). -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok