PERMINTAAN Allahyarham Ibnor Riza supaya isteri pertama, anak serta empat cucunya datang ke Kota Kinabalu, Sabah bagi menyambut ulang tahun kelahirannya pada 11 Oktober lalu kerana merasakan itu mungkin yang terakhir menjadi kenyataan.
Isteri pertama, Norhayati Mohamad Nor, 58, berkata, ketika itu Ibnor atau nama sebenarnya Ibnor Riza Ibrahim, 62, yang sudah tidak sihat menjayakan persembahan di lokasi tersebut dan meminta mereka sekeluarga untuk turut sama berada di sana.
“Katanya, it might be my last birthday. If u can come. Masa itu Ibnor buat persembahan di atas kerusi, jadi kami semua dari Brunei taat dan menetap di sana (KK) selama lima hari menemaninya. Memang betul, hari jadi terakhir dia,” katanya ketika ditemui di Masjid Tunku Alif Hussein Al-Amin Kariah Kampung Tengkek, malam tadi.
Menurut Norhayati lagi, sudah 20 hari dia berada di Malaysia bagi menemani arwah setelah menjalani pembedahan di perut.
“Sebelum itu, madu saya, Sarimah Sulaiman, 51, sudah menjaga sepenuhnya suami sementara menunggu saya dibenarkan terbang ke Malaysia dari Brunei selepas menjalani pembedahan di perut.
“Alhamdulillah, ada hikmahnya (bermadu). Apabila sakit bergilir-gilir kita jaga dia. Bila saya datang, saya akan jaga sepenuhnya. Bila saya menjalani pembedahan di Brunei, Sarimah akan jaga suami sepenuhnya,” katanya.
Sambung Norhayati, mereka sekeluarga sudah dimaklumkan oleh pegawai perubatan pada 29 Jun lalu bahawa kanser limfoma arwah semakin agresif dan hanya mempunyai jangka hayat enam bulan.
“Dia mengaku rasa sakit tapi dia kuat semangat nak terus hidup.
“Pada pertengahan November Allahyarham mula demam tak sembuh-sembuh sehinggalah pada 2 Disember lalu dia ditidurkan dan pada Jumaat lalu doktor sahkan sel otaknya telah mati,” katanya.
Terdahulu, Jenazah penyanyi era 1980-an, selamat dikebumikan pukul 10.40 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasau, Tengkek, Negeri Sembilan.
Lebih 200 orang hadir mengiringi penyanyi itu ke persemadian terakhirnya termasuk rakan artis seperti Norlia Ghani, Datuk Hattan, Datuk S Atan, Ameng Spring dan Mat Over.
Sementara itu, rakan artis, Ameng menyifatkan negara kehilangan penyanyi pop yang hebat.
“Selain Datuk Jamal Abdillah, Allahyarham Ibnor Riza juga penyanyi pop yang baik. Ini satu kehilangan besar buat industri seni suara,” katanya.
Datuk Hattan pula berkata, karyawan Malaysia berasa sangat berdukacita dengan pemergian Allahyarham Ibnor Riza yang disifatkan sebagai bintang berbakat besar dan antara penyanyi terbaik. – HIBGLAM