SEDAR dirinya menjadi mangsa buli siber, anak kepada pelakon Azhar Sulaiman, Kasih Iris Leona, 21, menyelar sikap segelintir individu menghina bentuk badan sehingga melabelnya sebagai wanita gemuk susulan video dimuat naiknya baru-baru ini.
Kata Leona, dia tidak pernah menghiraukan komen netizen malah sentiasa berasa positif dengan semua dimilikinya hari ini termasuk bentuk badannya.
“Kalau saya gemuk beri kesan kepada anda?
Minta maaf kalau anda tidak berpuas hati dengan penampilan diri sendiri tetapi anda tidak perlu menunjukkan rasa ‘insecure’ (kurang yakin) apabila melihat saya.
“Saya okey dan gembira dengan penampilan diri sendiri. Itu sahaja paling penting,” katanya dalam aplikasi X.
Dalam pada itu, dia juga menyindir kenyataan beberapa individu yang menyamakan bentuk fizikalnya seperti wanita berstatus ibu yang memiliki lima anak.
Ada yang cakap badan saya kelihatan seperti ibu kepada lima anak.
“Jadi, adakah ibu anda kelihatan seperti saya?” balasnya sinis.
Pemilik nama penuh Kasih Iris Leona Azhar mempersoalkan mengapa terdapat individu gemar menulis komen negatif, sedangkan dia tidak pernah membaca komen yang diberikan KEpadanya selama ini.
Ujarnya, dia juga menzahirkan rasa simpati dengan individu yang suka memerhati kehidupan peribadinya malah meminta mereka meneruskan hal tersebut sekiranya boleh memberi kebahagiaan.
Sekiranya memantau hidup saya memberi kegembiraan kepada anda, teruskan kerana kehidupan anda sudah terlalu kusut dan saya kasihankan perkara itu.
“Jika boleh memberi keterujaan, saya tumpang bahagia.
Hidup ini singkat dan jika anda mahu menjalani kehidupan begini, silakan tetapi perlu tahu bahawa kehidupan bukan semata-mata dalam media sosial.
“Letak telefon dan pergilah menjalani kehidupan dunia nyata di sekeliling anda. Saya mengatakan ini kerana ambil berat,” katanya lagi.
Terdahulu, video memaparkan Leona menari bersama kawannya mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen kerana memakai pakaian mencolok mata selain bentuk badannya dihina.
Sebelum ini, dia kerap menjadi mangsa buli siber terutama berkaitan pemakaian dan tahap kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu. – HIBGLAM