Hormati situasi semasa, konsert Datuk Shake ditunda

KONSERT solo penghibur legenda, Datuk Shake yang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember depan ditunda.

Berita itu dimaklumkan penganjur, InTour Live Events menerusi kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

“Dukacita dimaklumkan konsert Shake yang dijadualkan berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 16 Disember ini ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Pihak penganjur dan Shake memohon maaf atas penundaan ini terutama buat pembeli tiket,” katanya.

Sementara itu, Shake atau nama sebenarnya, Sheikh Abdullah Sheikh Ahmad Bahwere, 73, berkata, konsert berkenaan akan direalisasikan selepas situasi semasa bertambah baik.

“Konsert ini ditunda, bukan batal dan bakal dipindahkan ke tarikh lain apabila situasi menjadi lebih baik untuk menyambut dan meraikan persembahan saya.

Kami memohon maaf kepada peminat,” ujarnya.

Pihak penganjur turut menyatakan pembeli tiket konsert boleh mendapatkan bayaran balik dengan menghubungi Ticketcharge.

Terdahulu, konsert Datuk Shake Live in Kuala Lumpur yang juga persembahan mega solo penghibur terbabit dirancang berlangsung selama 90 minit dengan mempersembahkan kira-kira 30 lagu.

Dibawakan InTour Live Events dengan kerjasama iMe Entertainment Group, konsert solo selepas kali terakhir beraksi dalam persembahan mega pada tahun 1984 itu menjadi medan penghibur terbabit melepaskan rindu bersama peminat

Malah, pemilihan seleksi lagu yang bakal diperdengarkan nanti merupakan penceritaan kembara muziknya sehingga mengukuhkan reputasi di Perancis.

Hampir lima dekad berada dalam dunia muzik, anak jati Johor itu turut menerima pengiktirafan daripada Kerajaan Perancis, Chevalier des art et Lettre (Knight of the Order of Arts Letters and Merits) iaitu penghargaan atas sumbangan mempromosikan bahasa dan budaya negara itu di seluruh Asia.

Antaranya dendangan yang terus malar segar adalah Umi, Anugerah Dari Kegagalan, Lina, Kau Bunga Ku dan You Know I Love You (Tu sais je t’aime).

Dalam temu bual bersama HibGlam sebelum ini, Shake mendedahkan kepulangannya ke tanah air bagi menghiburkan peminat adalah impian yang sudah direncanakan sejak tahun 2020.

Begitupun, pandemik yang berlaku mengakibatkan semua perancangan itu tergendala. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok