PENYANYI Amylea Azizan, 37, sah bergelar isteri kepada seorang pegawai bomba Singapura, Mohammad Aqbar Mohamad, 40, dengan sekali lafaz pada tarikh yang dirahsiakan.
Amylea selamat dinikahkan dengan berwalikan hakim dalam majlis yang berlangsung di kediaman keluarga penyanyi itu.
Dalam majlis pernikahan yang berlangsung secara tertutup dan sederhana, Amylea menerima mas kahwin senaskhah al-Quran dan telekung serta hantaran bernilai RM8,888. Angka tersebut dipilih sebagai lambang cinta infiniti pasangan sejoli itu.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kendati itu, dia sama sekali tidak menyangka perkenalan singkat menerusi media sosial berakhir dengan sebuah perkahwinan.
Majlis berlangsung secara sederhana itu dihadiri tetamu terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat menyaksikan kedua-dua mempelai anggun dalam dua busana rekaan pereka fesyen terkenal, Teruntum Putih Redzuan Alias.
Difahamkan, majlis resepsi pasangan itu akan berlangsung pada 27 Januari tahun depan.
Amylea menzahirkan rasa syukur dirinya kini sudah menjadi milik Aqbar atau lebih mesra disapa Ash.
“Ternyata Allah itu maha berkuasa. Dalam pada fikiran saya belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga, tup-tup sudah bergelar isteri. Alhamdulillah.
“Perkenalan saya dengan Ash pun melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu. Bila dah selesa berkawan, Ash terus melamar saya.
“Selepas mengamalkan beberapa doa dan solat istikharah, ada petanda baik yang berlaku. Kemudian dia terus berjumpa dengan keluarga saya. Alhamdulillah, saya tidak pernah setenang ini sejak Ash hadir dalam hidup saya,” katanya.
Ash pula menyifatkan Amylea seorang yang bijak dan berdikari sekali gus membuatkan dia tertarik untuk menyunting wanita itu sebagai belahan jiwanya.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini mereka terpaksa melalui kehidupan jarak jauh kerana tugasannya sebagai pegawai bomba di Singapura.
“Mujur Amylea faham dengan situasi ini dan kami sedang mencari jalan untuk tinggal bersama. Perkara ini berlaku terlalu pantas.
“Saya jugak tidak sangka perkenalan singkat kami ini diakhiri dengan penyatuan cinta yang indah. Tengoklah macam mana nanti, just go with the flow,” tuturnya.
Sementara itu, bersempena dengan perkahwinan itu, Amylea turut tampil dengan single lagu terbaharu berjudul Panji Putih Buat Pangeran yang didedikasikan khas buat suaminya.
Menurut Amylea, lagu itu dicipta sebagai tanda cinta mereka yang akan kekal hingga akhir hayat dan dapat didengari anak cucu mereka satu hari nanti.
“Lagu ini berkisarkan kedegilan hati saya yang merasakan hidup ini seperti sudah berakhir. Panji Putih itu diibaratkan seperti saya mengalah (bendera putih). Pangeran pula tanda Ash sebagai orang barisan hadapan yang kerjanya saya hormat dan pandang tinggi.
“Ash meminati perkara-perkara tradisional, saya gabungkan cita rasa saya dan dia dengan menghasilkan lagu ini dalam genre keroncong moden,” ujarnya.
Panji Putih Buat Pangeran akan dilancarkan pada penghujung Disember nanti. – KOSMO! ONLINE