[VIDEO] Dikutuk kerana Dawai – ‘Buruk sangatkah saya nyanyi?’

PENYANYI Sharifah Zarina, 42, berharap masyarakat tidak membandingkan persembahannya di Konsert Ini Baru Bintang yang disiarkan di saluran RTM baru-baru ini dengan penyanyi undangan lain.

Akui Zarina, dia sudah lama tidak menyanyi di hadapan khalayak ramai dan merasakan wajar jika persembahannya menyanyikan lagu Dawai dan Langit Ketujuh tidak cukup menyengat di mata warganet.

“Semua orang tahu saya sudah lama tidak menyanyi dan pada asalnya tiada niat pun untuk buat kemunculan semula.

Kali terakhir saya menyanyi adalah menerusi sebuah persembahan pada 2019. Jadi warganet janganlah harapkan saya nyanyi macam nak masuk pertandingan atau bandingkan nyanyian saya dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang aktif di pentas seni.

“Saya terima undangan daripada RTM kerana menghargai mereka. Niat saya untuk menghiburkan mereka yang datang, itu sahaja,” katanya.

Menurut Zarina, demi memenuhi undangan penganjur, dia sanggup membeli mikrofon baharu dan mengikuti kelas vokal.

“Saya ambil empat kelas vokal. Jiran pun terkejut sebab saya sudah lama tidak menyanyi. Usaha memang ada tapi itulah, orang hanya tahu mengecam,” katanya.

Meskipun persembahannya dikecam teruk, penyanyi lagu Langit Ketujuh itu berpuas hati dengan persembahannya tempoh hari.

Saya berpuas hati dengan persembahan saya. Pada umur begini, saya masih boleh tarik nada tinggi lagi. Buruk sangatkah saya nyanyi? setidaknya orang masih tahu itu lagu Dawai.

“Cuba kalau yang kutuk itu kita suruh nyanyi. Entah-entah tak berbunyi langsung nada lagu Dawai,” katanya berseloroh.

Terdahulu, Sharifah Zarina dikritik teruk kerana dikatakan gagal membawakan lagu Dawai yang merupakan runut bunyi filem Air Mata Di Ujung Sajadah semasa Konsert Ini Baru Bintang anjuran RTM pada Sabtu lalu. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok