MENGUNDANG sebak, ucapan anak sulung pelakon Bella Astillah, Ayden Adrean pada majlis resepsi perkahwinan ibunya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bertukar menjadi momen menyentuh perasaan.
Kanak-kanak berusia sembilan tahun itu meluahkan betapa besar makna kebahagiaan buat insan disayanginya, sekali gus sebagai anak lelaki tiada yang lebih diharapkan selain melihat ibunya kembali tersenyum selepas melalui fasa duka.
“Saya dan Ara, kadang-kadang saya tak berapa faham dengan semua benda yang berlaku.
“Saya cuma tahu yang Mommy tengah sedih dan sebagai anak lelaki, satu-satunya perkara yang saya mahukan adalah untuk melihat Mommy tersenyum semula,” katanya ketika berucap di majlis resepsi yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur, malam ini.
Lengkap mengenakan persalinan tradisional, Ayden ditemani adiknya, Ara Adreanna , 6, yang turut menggayakan persalinan rona merah hati berdiri di tengah pentas utama.
Mendengar ucapan puteranya, Bella, 32, yang duduk di meja santapan bersama suaminya, Syed Saddiq dilihat mengesat air mata.
Menzahirkan penghargaan atas kehadiran Ahli Parlimen Muar itu dalam hidup mereka, Ayden mengakui kehidupan mereka mula berubah secara perlahan-lahan.
Katanya, dia menyaksikan ibunya kembali ceria, ketawa selain dapat menikmati semula kebahagiaan yang sekian lama dirindui.
“Kemudian, awak (Daddy) hadir dalam hidup dia. Perlahan-lahan, saya mula nampak Mommy lebih banyak tersenyum dan lebih banyak mendengar dia ketawa.
“Saya nampak Mommy kembali gembira semula. Semoga Allah merahmati perkahwinan mommy dan daddy. Saya dan Ara menyayangi kalian berdua, mommy dan daddy,” ujarnya dalam nada sebak.
Malah kanak-kanak yang bijak berbicara itu turut menghargai ketulusan Syed Saddiq menerima dirinya dan Ara dengan penuh kasih sayang serta hati yang terbuka
“Awak terima kami seadanya. Awak tak pernah buat kami rasa yang kami ni cuma sekadar anak Mommy saja.
“Awak buat kami rasa yang kami juga adalah sebahagian daripada keluarga awak. Terima kasih kerana memilih Mommy. Terima kasih kerana menyayanginya,” katanya.
Luahan Ayden dengan ikhlas jelas terserlah apabila diucapkan tanpa berpandukan teks membuatkan seluruh dewan turut terharu.
Malah di laman sosial juga ramai netizen memuat naik semula video ucapan Ayden dengan rata-rata mengakui turut menitiskan air mata mengikuti ucapannya.
“Kenapa aku menangis sekali? Walhal aku bukan ada dalam majlis itu. Memang sebak tengok ketulusan anak ini,” tulis seorang pengguna Threads.
Terdahulu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, dan Syed Saddiq selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober lalu. – HIBGLAM

