SEMAKIN dikenali penangan populariti drama Bulan Henti Bicara, pelakon baharu, Qireen Din tidak kisah digelar digelar ‘hantu galah’ kerana bertubuh tinggi.
Menurut Qireen atau nama lengkapnya Muhammad As’syaqireen Hasnoddin, 34, dia tidak menyangka drama pertama lakonannya mendapat tempat di hati peminat malah pengikut akaun media sosialnya juga meningkat.
“Alhamdulillah drama ini mendapat sambutan ramai. Terima kasih kepada pengarah iaitu Eyra Rahman yang memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa watak Nazif walaupun pada awalnya saya kurang yakin untuk bawa watak ini dan memintanya mencari pelakon lain. Tapi dia yakinkan saya untuk terima watak ini.
“Setiap hari saya akan dapat mesej daripada peminat dalam media sosial. Terlalu ramai sampai saya tak mampu untuk balas satu persatu. Terima kasih kepada semua. Saya baca mesej dan komen kalian.
“Walaupun ada yang panggil saya hantu galah. Minta saya tumbuk Jamali, minta saya kahwin dengan Zulfa dan sebagainya, bagi saya komen-komen itu sangat comel. Saya okey sahaja mereka nak panggil saya hantu galah jika itu mampu buat mereka gembira,” katanya ketika ditemui di sidang media Warnaraya 2027, baru-baru ini.
Kata jejaka berketinggian 188cm itu lagi, dia banyak menimba ilmu daripada pelakon berpengalaman sepanjang berada di set penggambaran.
“12 tahun saya bergelar sebagai model, jadi bila saya melangkah ke dalam industri lakonan, saya tidak mahu sambil lewa. Saya ada misi saya sendiri.
“Saya banyak belajar dengan pelakon-pelakon berpengalaman termasuk abang Azhan Rani dan kak Farah Ahmad di set penggambaran.
“Saya tak pernah terfikir nak jadi viral atau popular. Bila masuk set penggambaran saya hanya fokus nak beri lakonan yang terbaik. Alhamdulillah setakat ini tiada lagi komen yang buruk tentang lakonan saya. Belum ada lagi yang cakap saya kayu,” jelasnya.
Biarpun masih hijau dalam bidang lakonan, tawaran demi tawaran mula mendampingi pelakon berstatus duda anak satu itu.
“Saya bersyukur apabila ditawarkan watak sebagai hero kedua untuk drama Ceraikan Aku Sekali Lagi disamping Uqasha Senrose, Zara Zya dan Hisyam Hamid.
“Dalam drama itu saya bawa watak sebagai seorang doktor. Banyak perkara yang perlu saya belajar terutamanya membabitkan terma-terma yang diguna pakai dalam dunia perubatan.
“Selepas itu ada satu lagi naskhah menarik. Tetapi saya belum boleh kongsikan butirannya. Apa yang saya boleh katakan, watak itu memang saya idam,” kongsinya. – kongsinya. – HIBGLAM
