APABILA seorang anak didiagnosis dengan autisme, dunia ibu bapa seakan-akan berhenti seketika.
Bagi masyarakat, mungkin sukar untuk membayangkan bebanan fizikal dan emosi yang perlu ditanggung.
Ramai juga dalam kalangan selebriti yang bergelut dengan realiti kehidupan termasuk harus membesarkan anak autisme.
Status mereka sebagai figura awam tidak sedikit pun membataskan kasih sayang untuk memberikan yang terbaik buat permata hati mereka yang istimewa.
Kisah mereka bukan sekadar cerita tentang keibubapaan, tetapi satu naratif inspirasi yang membuka mata masyarakat tentang betapa pentingnya penerimaan, sokongan terapi dan kasih sayang tanpa syarat dalam membentuk masa depan anak-anak syurga.
Dian Sastrowardoyo

PELAKON terkenal, Dian Sastrowardoyo pernah melalui fasa sukar apabila anak sulungnya, Shailendra Naryama Sastraguna Sutowo didiagnosis dengan autisme ketika masih kecil.
Dian atau nama lengkapnya Dian Paramita Sastrowardoyo, 44, menyedari tanda-tanda awal sejak anaknya berusia 8 bulan, termasuk kurang fokus mata dan masalah komunikasi.
Baginya, penerimaan adalah kunci utamanya untuk terus memandang ke hadapan.
Dia tidak pernah berputus asa sebaliknya menjadi antara penggerak yang lantang menyebarkan kesedaran tentang autisme.
Pelakon filem Gadis Kretek itu banyak melaburkan masa untuk memastikan anaknya mendapat pendidikan awal dan terapi yang intensif sekali gus membuktikan bahawa anak austime mampu berkembang cemerlang dengan sokongan yang tepat.
Anji Manji

PENYANYI Anji juga tidak terkecuali daripada ujian sama apabila anaknya, Sigra Umar Narada disahkan berdepan masalah autisme.
Anji atau nama sebenarnya Erdian Aji Priartanto sering berkongsi perkembangan anaknya dalam media sosial secara jujur dan menyentuh hati.
Penyanyi berusia 48 itu tidak melihat autisme sebagai satu penghalang, malah menjadikan setiap detik bersama Sigra sebagai peluang untuk belajar memahami perspektif dunia berbeza.
Pelantun lagu Orang Yang Berbeda itu sering menekankan bahawa anak-anak autisme mempunyai keunikan tersendiri yang perlu dihargai ibu bapa.
Agatha Suci

UJIAN buat penyanyi Agatha Suci yang mempunyai dua anak iaitu Kahlia Adinda dan Arsa Nuraga yang disahkan autistik.
Menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal sambil membesarkan dua anak istimewa bukanlah satu perkara yang mudah.
Namun, semangat pemilik nama asal Suci Wulandari, 41, sangat dikagumi. Dia juga sering berkongsi tip keibubapaan dan bagaimana menguruskan terapi serta emosi diri sendiri agar tetap kuat untuk anak-anaknya.
Bekas peserta Indonesian Idol musim pertama itu juga menjadi contoh ibu yang tabah dalam menempuh hari-hari yang penuh cabaran.
Cindy Fatikasari, Tengku Firmansyah

PASANGAN selebriti, Cindy Fatikasari dan Tengku Firmansyah merupakan inspirasi kepada ramai ibu bapa.
Anak lelaki mereka, Tengku Omar merupakan salah seorang daripada anak kembar pasangan itu merupakan autisme.
Sepanjang membesarkan putera mereka, pasangan itu sentiasa menunjukkan kerjasama yang erat dalam memastikan anak mereka mendapat persekitaran kondusif.
Keteguhan prinsip mereka untuk tidak membezakan layanan antara anak-anak lain dan Omar membuahkan hasil.
Kini, Omar membesar menjadi seorang remaja yang mempunyai minat dan bakat dalam seni lukis serta pernah mengadakan pameran lukisan sebelum berhijrah ke Kanada. – HIBGLAM
