Kalau tak nak ‘tamat’ macam Rachel, jauhi ganja

HAMPIR semua perkara yang tidak sepatutnya diterjemahkan terkandung ‘berat’ dalam siri kontroversi Netflix berjudul Something Very Bad Is Going to Happen.

Adegan ‘gore’ (kejam) dengan darah memancut-mancut, babak seks dan seram yang melampau dengan ‘kematian’ yang sengaja dilambatkan, itu antara elemen dalam siri terbitan The Duffer Brothers tersebut begitu istimewa.

Sedari awal lagi, penonton sudah disajikan dengan rasa tidak selesa yang perlahan-lahan terbina, seolah-olah ada sesuatu tidak kena, walaupun sukar dijelaskan secara langsung.

Cerita berpusat kepada Rachel, seorang wanita yang bakal berkahwin dengan tunangnya, Nicky. Perjalanan mereka ke rumah keluarga lelaki yang sepatutnya menjadi detik bahagia bertukar menjadi pengalaman janggal dan menakutkan.

Kehadiran keluarga Nicky yang aneh dan kesuraman suasana rumah menjadikan penonton mula mempersoalkan apa sebenarnya sedang berlaku.

Satu daripada kekuatan utama drama berkenaan adalah pembinaan atmosfera yang sangat kuat. Tanpa bergantung kepada ‘jumpscare’ berlebihan, naskhah berkenaan berjaya menimbulkan rasa seram melalui suasana sunyi, ekspresi wajah dan dialog penuh makna tersirat.

Rasa cemas yang perlahan-lahan meningkat membuatkan penonton sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Aspek lakonan juga wajar dipuji, terutama watak Rachel yang berjaya menggambarkan perubahan emosi daripada seorang wanita yang teruja menjadi seseorang yang semakin hilang kestabilan mental.

Setiap reaksi yang ditunjukkan terasa realistik dan menyumbang kepada keseluruhan pengalaman menonton secara lebih mendalam.

TANPA bergantung kepada elemen ‘jumpscare’, naskhah sentuhan Haley Z. Boston yang mengunakan konsep pencahayaan suram cukup untuk mencetuskan emosi seram dan persoalan kepada penonton.

Selain itu, konsep cerita yang mengaitkan majlis perkahwinan dengan elemen sumpahan atau rahsia keluarga memberikan keunikan.

Naskhah berkenaan bukan sekadar kisah seram, tetapi juga menyentuh tentang tekanan sosial, kepercayaan, serta ketakutan terhadap perkara yang tidak diketahui.

Perlahan

Namun begitu, kelemahan utama drama ini terletak pada pergerakan naratif yang agak perlahan. Terdapat beberapa bahagian terasa berlarutan tanpa perkembangan yang signifikan, sehingga mungkin menguji kesabaran penonton yang mengharapkan jalan cerita lebih pantas.

Di samping itu, jalan cerita yang cuba menggabungkan pelbagai elemen seperti misteri keluarga, psikologi dan supernatural menyebabkan terdapat beberapa plot kurang dijelaskan dengan baik. Ini mungkin membuatkan sesetengah penonton berasa keliru atau tidak puas hati dengan perkembangan cerita.

Dari segi visual, pencahayaan suram untuk menambahkan elemen seram dilihat berkesan membina mood, namun pendekatan sedemikian juga menyebabkan beberapa adegan kelihatan terlalu gelap sehingga menyukarkan penonton untuk melihat secara jelas apa yang sedang berlaku.

Biarpun begitu, kelebihan drama ini tetap terletak pada keupayaan mencipta rasa tidak selesa yang konsisten. Tidak cuba menakutkan secara mendadak, tetapi ceritanya lebih kepada membina ketegangan secara psikologi yang berpanjangan.

Tema yang diketengahkan juga agak mendalam, termasuk isu kepercayaan dalam hubungan, tekanan daripada keluarga pasangan serta ketakutan terhadap komitmen. Semua ini disampaikan dalam bentuk metafora yang diselubungi elemen seram.

Secara keseluruhannya, Something Very Bad Is Going to Happen adalah sebuah karya unik dengan pendekatan berani dalam menyampaikan cerita seram. Mungkin tidak sempurna, tetapi kesannya kuat kepada penonton yang menghargai naratif perlahan dan penuh simbolik.

Moralnya, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau tak ingin otak berkecamuk fikir yang bukan-bukan, usah bermain dengan najis dadah (ganja) seperti Rachel. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok