PELAKON Yusuf Bahrin mengakui tidak menyangka mahligai yang dibina hampir lima tahun bersama bersama bekas isteri yang juga penyanyi, Zizi Kirana akhirnya bernoktah dengan perceraian hari ini.
Mengakui sudah berusaha sebaik mungkin menyelamatkan rumah tangganya, pemilik nama Muhammad Yusuf Bahrin, 34, itu berkata, dia berlapang dada menerima segala yang berlaku dengan bekas isterinya.
“Hari ini adalah hari perceraian saya dengan bekas isteri, Zizi Kirana.
“Tiada sesiapa atau satu pun pasangan dalam dunia ni yang sukakan perceraian tetapi dalam kisah hidup saya dengan Zizi, inilah pengakhirannya.
Saya tak pernah jangka dan saya tak pernah tahu akan terjadi dalam hidup saya. Kami dah buat yang terbaik, kami dah cuba sedaya upaya untuk selamatkan, tapi benda jadi macam ni,” katanya kepada HibGlam selepas prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini.
Dia yang kelihatan sebak ketika ditemui usai prosiding cerai memberitahu perpisahan dengan Zizi hari ini berlaku secara baik namun memilih untuk enggan berkongsi punca perceraiannya.
“Tak apa, itu biar saya dan dia saja yang tahu (punca perceraian).
Kami berpisah secara baik, tak ada permusuhan dan tiada dendam, Alhamdulillah.
“Jadi, saya minta doa daripada kalian semua agar mendoakan kebahagiaan kami dan orang lain, insya-Allah,” katanya lagi.
Meski sudah berpisah secara rasmi, dia akan tetap terus menyokong kerjaya seni bekas isterinya.
Saya akan terus sokong dia.
“Malah dia pun akan terus sokong saya punya kerjaya, insya-Allah,” kongsinya.
Hari ini, ikatan perkahwinan Zizi atau nama penuhnya Nur Fazelah Mad Tahil, 41, dan Yusuf akhirnya terlerai apabila mereka disahkan bercerai talak satu secara raji’e.
Lafaz cerai tersebut dilakukan di hadapan Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah dalam kamar bicara hari ini.
Zizi yang juga penyanyi hari ini hadir ditemani aktres, Datin Seri Paduka Umie Aida.
Terdahulu, rumah tangga mereka didakwa goyah selepas Zizi dan Yusuf memuat naik foto menyambut Aidilfitri secara berasingan.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM
