Pemurah! 4 selebriti Indonesia labur duit bina masjid

KEHADIRAN Ramadan yang penuh keberkatan bukan sekadar disambut dengan persiapan juadah berbuka namun bulan mulia ini sering menjadi momentum buat umat Islam untuk melipatgandakan amalan mencari reda Ilahi.

Di sebalik kerlipan lampu glamor dunia hiburan dan kemewahan hidup yang dijalani, segelintir selebriti Indnesia ini berlumba-lumba mengejar pahala jariah dengan cara membina rumah Allah.

Kali ini, HibGlam menyenaraikan beberapa selebriti Indonesia yang sanggup melabur untuk membina masjid demi manfaat ummah.

Atta Halilintar

PEMPENGARUH terkenal, Atta Halilintar terus membuktikan bahawa kekayaan yang dimiliki harus disalurkan ke jalan dakwah apabila menyiapkan pembinaan masjidnya yang kelima pada tahun lalu.

Sebelum ini dia sudah membina Masjid Ar Rahmat AHHA, Masjid Pesantren AHHA Binaumma Tebuireng, Masjid Al Furqon, Masjid Kapal Munzalan Al Husni dan yang terbaharu Masjid Suffah yang terletak di Purwakarta, Jawa Barat Indonesia.

Selain menjadi pusat ibadah, masjid kelima yang dibina pemilik nama penuh Muhammad Attamimi Halilintar, 32, itu juga menampilkan seni bina yang unik.

Dengan gabungan elemen moden dan tradisional, masjid tersebut bukan sahaja menampilkan keindahan reka bentuk Islamik tetapi turut menyediakan ruang yang selesa untuk para jemaah.

Dalam pada itu, suami kepada Aurel Hermansyah itu akan terus konsisten dalam membina masjid dan berharap dapat membina masjid keenam pada tahun ini.

Ivan Gunawan

MENERIMA pujian meluas, pelakon Ivan Gunawan berjaya membina sebuah masjid yang dinamakan Masjid Indonesia di Uganda, Afrika Timur pada 2022.

Pemilik nama lengkap Ivan Gunawan Putra memberitahu memilih membina masjid di negara tersebut bagi menampung dan memudahkan umat Islam menunaikan ibadah memandangkan peningkatan populasi masyarakat Muslim di sana.

Faktor kemiskinan dan kesukaran mendapatkan air bersih di kawasan tersebut turut mendorong beliau menghulurkan bantuan.

Tidak hanya membina sebuah masjid, pengacara dan pereka fesyen yang berusia 45 tahun itu turut menyediakan pelbagai kelengkapan beribadah seperti telekung dan kain pelikat untuk kegunaan jemaah.

Pevita Pearce

DI sebalik kesibukan jadual lakonan dan penggambaran, aktres Pevita Pearce membuktikan bahawa dia tidak melupakan tanggungjawab sosialnya apabila berjaya mendirikan sebuah masjid di Flores, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia pada 2016.

Pevita atau nama penuhnya Pevita Cleo Eileen Pearce mendedahkan pembinaan rumah Allah itu merupakan hasil kerjasama erat bersama ibunya, Ernany Kasim sebagai bentuk penghargaan dan rasa syukur atas rezeki yang diterima sepanjang berkecimpung dalam dunia seni.

Menurut pelakon filem Tenggelamnya Kapal Van der Wijck itu, inisiatif tersebut sebenarnya tercetus daripada keinginan ibunya yang mahu menyumbang sesuatu yang bermakna buat masyarakat di kawasan yang masih kekurangan kemudahan asas.

Lokasi Flores dipilih khusus kerana Pevita menyedari komuniti Muslim di sana sangat memerlukan sokongan infrastruktur agama yang lebih baik.

Teuku Wisnu

SELEPAS terlibat dalam pelbagai misi kemanusiaan, pelakon Teuku Wisnu kini dalam misi membina sebuah masjid di Jepun.

Wisnu, 41, menyifatkan usaha itu sebagai keperluan yang selari dengan peningkatan pelancong dan penduduk Muslim di sana.

Projek yang dinamakan Masjid Indonesia Yokohama tidak sekadar tempat solat, malah sebagai pusat komuniti promosi budaya dan keindahan Islam buat warga tempatan.

Meskipun berdepan kos hartanah tinggi dan prosedur ketat undang-undang, suami Shireen Sungkar ini tetap optimis mengumpul dana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok