‘Syukur dapat mulakan tahun baharu dengan awak’

HATI sedang berbunga-bunga, pelakon Nadia Brian meluahkan rasa syukur dapat melayari detik awal tahun baharu 2026 di sisi usahawan, Nedim Nazri atau lebih dikenali sebagai Boss Ned.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 34, berkongsi detik tersebut menerusi satu hantaran ringkas namun sarat makna dalam media sosial, menzahirkan kesyukurannya atas permulaan tahun baharu.

Bersyukur dapat memulakan tahun baharu dengan awak. Selamat tahun baharu semua,” tulisnya.

Hantaran tersebut turut menerima respons manis daripada bekas suami pelakon Nora Danish itu menerusi ruangan komen, seolah-olah mengesahkan keakraban hubungan mereka.

Alhamdulillah, satu permulaan tahun baharu yang sangat baik untuk kita, sayang,” balasnya

Dalam masa sama, pelakon Duyung: Legenda Aurora itu menjelaskan perhiasan pada wajahnya hanyalah pelekat mutiara, bukannya bertindik bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan netizen.

“Itu bukan tindik ya semua, cuma pelekat mutiara sahaja. Tak beritahu nanti timbul fitnah pula,” jelasnya.

Perkongsian penuh kemanisan tersebut pantas menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya mendoakan kebahagiaan pasangan berkenaan selain teruja melihat kemesraan ditampilkan secara terbuka.

“Serasi tengok dua-dua, semoga dipermudahkan urusan,” komen seorang netizen.

“Doa yang baik, nampak bahagia sangat,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Kalau sudah jodoh, semoga sampai ke pelamin,” ujar seorang peminat.

Sebelum ini, hubungan Nadia dan Nedim mula menjadi bualan hangat sejak Disember 2025 apabila duda dua anak itu dilihat kerap memuat naik foto mesra mereka dalam media sosial, termasuk gambar berpegangan tangan secara terbuka sehingga mengundang spekulasi ramai.

Susulan itu, Nadia mengakui hubungannya bersama Boss Ned masih dalam fasa mengenal hati budi, selain memohon doa daripada peminat serta orang ramai agar segala urusan dipermudahkan dan berakhir dengan kebaikan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok