KEGILAAN penonton terhadap naskhah genre seram di pawagam mahupun platform penstriman online menjadi faktor utama syarikat produksi, Faradale Media-M Sdn. Bhd. menghasilkan filem Azimat.
Menariknya, naskhah tersebut merupakan hasil titik peluh anak Sarawak total daripada barisan pelakon, kru dan lokasi penggambaran.
Menurut penerbit filem yang juga pengarah, Kay Rezza Karim, Azimat menawarkan jalan cerita yang lebih mengetengahkan emosi manusia berdepan dengan ketakutan dan tekanan hidup berbanding elemen ‘jump scare’ seperti karya lain.
Idea Azimat tercetus pada 2019 selepas saya berbincang dengan dua rakan penulis mengenai bagaimana kepercayaan, trauma dan nasib saling berkait.
“Kami mahu hasilkan naskhah seram yang bukan hanya ada jalan cerita menakutkan tetapi meninggalkan impak terhadap emosi penonton,” katanya yang juga peminat filem seram Indonesia arahan Joko Anwar.

Penerbit merangkap pengarah filem Azimat, Kay Rezza Karim percaya karya terbabit mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu memancing penggemar filem seram.
Berkongsi lanjut, Kay berkata, skrip Azimat menggunakan bahasa Melayu Sarawak, Iban untuk mengekalkan identiti filem tersebut yang dihasilkan dari Sarawak.
“Kami mahu tonjolkan sisi menarik Sarawak yang mampu menjadi pusat penghasilan karya seni bermutu.
Ketika ini pun, banyak karya dari Sarawak dan Sabah sudah mula mendapat tempat komersial, semoga terus maju berkembang sekali gus mengangkat budaya setempat.
“Selain itu, kami juga bangga melihat kualiti filem yang hanya menelan kos sekitar RM500,000, agak terhad tetapi kami guna sebaik mungkin,” ujarnya.
Sementara bagi pelakon utama, Dee Dee Aine Peter yang memegang peranan sebagai Hana, Azimat dilihat mampu bersaing dengan filem seram tempatan lain kerana kekuatan jalan ceritanya.
Skrip filem ini sangat kuat, bukan sahaja tentang cerita seram tetapi mengangkat tentang isu kesihatan mental.
“Banyak mesej yang tersirat dan ini akan menjadi naskhah dari Sarawak yang boleh dibanggakan,” tuturnya yang juga bekas pengamal undang-undang.
Ditanya tentang caranya mendalami watak Hana, dia turut menjadikan watak wanita bisu yang perlu melawan ketakutan dalam filem Amerika Syarikat berjudul Hush sebagai rujukan utama.
“Saya suka buat ‘backstory’ dengan karakter dipegang dan itulah cara menjiwai watak Hana.
“Untuk berlakon filem seram saya tidak ada masalah sebab memang suka tengok cerita hantu.
Bila terlibat dengan Azimat, satu platform juga untuk saya pamerkan bakat dan buka mata ramai tentang kualiti filem dari Sarawak,” jelasnya.
Selain Dee Dee, Azimat dibintangi Heidi Abyana, Fadzril Afandy dan Rushdi Mornie Daud.
Azimat mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 27 November lalu. – HIBGLAM
