LAPAN minggu menghiburkan seisi keluarga rakyat Malaysia setiap malam Ahad, akhirnya program Talk To My Manager (TTMM) melabuhkan tirainya hujung minggu lalu dengan menyaksikan pasangan Liza Hanim dan anaknya Marsya Qistina dinobat sebagai juara sulung.
Wang tunai RM30,000 beserta sebuah single baharu di bawah label Rocketfuel menjadi habuan buat pasangan anak beranak itu.
Marsya yang pada mulanya dilihat tidak begitu menyerlah berbanding peserta lain mula menunjukkan peningkatan di minggu ke empat dan kekal konsisten sehingga ke konsert Grand Finale TTMM.
Berkat usaha gigih dan kerja keras ‘manager’ iaitu Liza Hanim dan kerajinan Marsya, habuan manis menjadi pelengkap perjalanan mereka di pentas TTMM.

MESKI menjadi pasangan pengurus dan artis paling banyak kecaman, Shuib dan Thalita tidak pulang hampa apabila menang tempat kedua TTMM.
Liza kelihatan sebak sewaktu meraikan kejayaan anak sulungnya seolah-olah melihat segala impian menjuarai pertandingan yang pernah disertainya sebelum ini kini berubah tangan kepada anaknya.
“Saya tidak pernah menang apa-apa sebelum ini. Saya pernah sertai Gegar Vaganza sebanyak dua kali tetapi tak menang tempat pertama.
“Sejujurnya saya berdoa, biarlah saya sahaja yang mendapat tempat kedua, tetapi tempat pertama jadi milik anak saya. Saya tidak mahu Marsya di tempat kedua seperti mamanya.
“Marsya layak berada di tempat yang setinggi-tingginya. Sebab itulah saya sentiasa pastikan graf persembahan Marsya setiap minggu sentiasa menaik,” katanya.
Bagi Marsya pula, peluang beraksi di pentas TTMM ibarat peluang kedua untuknya selepas pernah berputus asa gara-gara penyertaannya dalam program Ceria Popstar beberapa tahun lalu tergendala berikutan pandemik Covid-19.
“Saya pernah tertanya-tanya adakah masa depan saya dalam industri ini sudah terkubur. Saya betul-betul ‘down’ sewaktu Ceria Popstar tidak dapat diteruskan dulu.
“Bila TTMM buka peluang untuk saya dan mama, saya rasa ibarat laluan untuk saya masuk ke dalam industri kembali terbuka.
“Saya pernah menjadi penyanyi latar dalam kumpulan koir beberapa kali di Dewan MBSA ini untuk persembahan peserta Big Stage. Bila kali ini saya pula menyanyi secara solo dan menang, rasanya sungguh luar biasa. Inilah perasaannya,” jelasnya teruja.

PESERTA paling selamba, Sharifah Shahirah dan Auddra ternyata cukup bergaya dengan kedudukan tempat ketiga dalam pertandingan.
Sementara itu menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, ramai artis tempatan sudah mula bertanya dan meluahkan hasrat untuk menyertai TTMM musim hadapan.
“Kami di pihak Astro sangat gembira dan bahagia dengan sambutan yang diberikan terhadap TTMM yang telah mencetuskan satu fenomena di dalam industri hiburan tanah air. TTMM merupakan program terbesar Astro tahun ini setakat ini.
“Selepas kejayaan TTMM musim pertama, ramai selebriti tanah air sudah meluahkan hasrat untuk sertai musim kedua.
“Pihak produksi menerima banyak panggilan daripada penerbit di luar sana yang ingin mengambil peserta -peserta TTMM berlakon dan sebagainya,” jelasnya.
Sepanjang lapan minggu bersiaran, TTMM juga sarat dengan pelbagai drama yang menjadi perencah tambahan untuk menghangatkan lagi program ini.
Malang buat Amad apabila kejadian ‘misteri’ berlaku di atas pentas sebelum membuat persembahan. Amad tiba-tiba menanggung kesakitan dan rebah sebelum dibawa keluar dari pentas. Namun semangat anak kecil ini tetap membara apabila dia muncul semula untuk membuat persembahan. Lebih menyedihkan, Amad yang bergelut kesakitan tidak dapat menyempurnakan tugasan dan pengsan sejurus tamat persembahan.
Pada akhirnya, tuah memihak kepada Liza Hanim dan Marsya apabila diumumkan sebagai juara, manakala Shuib dan Thalita pulang selesa di tempat kedua. Pasangan Sharifah Shahirah dan Auddra pula mencipta magis tersendiri apabila muncul sebagai pemenang tempat ketiga.
Tempat keempat dan kelima pula menjadi milik pasangan Ameng dan Ammar serta Ina Naim dan Hadie. – HIBGLAM