Sokong Palestin, bintang Korea tak gentar diboikot

ISU konflik Israel dan Palestin sememangnya isu global dan mendapat perhatian masyarakat dunia, tanpa mengira pekerjaan ataupun status sosial.

Jika artis Hollywood ada yang lantang berhujah tentang genosid di Palestin dalam majlis-majlis anugerah, selebriti Korea Selatan juga tidak ketinggalan menunjukkan sokongan terhadap Palestin.

Kebanyakan artis K-pop bagaimanapun berhati-hati dalam menyuarakan pandangan disebabkan undang-undang dan sensitiviti industri, syarikat pengurusan masing-masing.

Namun, masih ada yang berani menyatakan pendirian secara terbuka sama ada melalui media sosial, simbolik di pentas konsert mahupun aktiviti kemanusiaan.

Kim Hye-soo

PELAKON veteran, Kim Hye-soo antara yang lantang menyuarakan pendirian mengenai isu kemanusiaan Palestin.

Dia pernah memuat naik hantaran dalam Instagram yang menyeru gencatan senjata serta berkongsi posting UNICEF mengenai penderitaan kanak-kanak di Gaza.

Tindakan wanita berusia 55 tahun itu dipuji ramai kerana berani menyuarakan pendirian walaupun isu tersebut sangat sensitif dalam dunia hiburan Korea.

G-Dragon

PADA 2024, penyanyi G-Dragon memilih untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Bernama Empire yang dipercayai milik seorang warganegara Palestin.

Keputusan tersebut diambil selepas tujuh tahun berehat dari industri muzik Korea. Menariknya, pemilik nama sebenar Kwon Ji-young itu juga kerap tampil dengan busana berwarna hijau, merah, hitam dan putih di atas pentas yang merujuk kepada bendera Palestin.

Ayana Jihye Moon

 

SIAPA yang tak kenal dengan bekas idola K-pop iaitu Ayana Jihye Moon yang kini bergelar mualaf dan aktif sebagai personaliti Muslim.

Bukan hanya berstatus mualaf, Ayana juga tidak ketinggalan menyatakan sokongan terhadap Palestin.

Dia sering memuat naik mesej solidariti buat rakyat Palestin selain mengajak peminat mendoakan keselamatan dan kebebasan Palestin. Suaranya dianggap antara yang paling lantang dalam kalangan figura Korea.

Lee Young-ae


PELAKON Lee Young-ae pernah menyumbangkan sebanyak 50 juta won (RM180,000) kepada Palang Merah Korea untuk bantuan kecemasan di Gaza ketika konflik Israel-Hamas memuncak.

Dalam kenyataannya, dia berharap sumbangan tersebut boleh membantu kanak-kanak yang kehilangan keluarga serta menderita akibat kehancuran perang.

Keberanian pelakon drama Saimdang, Memoir of Colors menyalurkan dana dalam isu sensitif ini membuktikan dirinya tidak gentar dengan risiko boikot atau kemungkinan kerjaya terjejas.

Suho

PADA tahun lalu, penyanyi Suho menerima pujian apabila menyertai acara tahunan Green Heart Bazaar anjuran UNICEF Korea.

Hasil daripada bazaar berkenaan disalurkan kepada Kempen Bantuan Kecemasan UNICEF di Jalur Gaza, khusus untuk membantu kanak-kanak yang terjejas.

Tindakan ketua kumpulan EXO itu yang terus bercakap tentang situasi kanak-kanak di Gaza dan mengajak orang ramai untuk menderma dilihat sebagai langkah yang baik serta contoh teladan buat artis lain.

Selain Suho, acara tersebut turut disertai beberapa bintang lain seperti Chuu (bekas ahli kumpulan LOONA), Kwon Eunbi, Sandara Park, Bada dan Eugene. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok