‘Minta maaflah kepada keluarga mereka, mana hati perut’

Pendakwah selebriti PU Amin meluahkan rasa kesal terhadap tindakan bekas pereka fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim yang mencetuskan kontroversi dengan mengeluarkan kenyataan tentang isu mahram melibatkan aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla.

Menerusi hantaran yang dimuat naik PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, 35, di Threads, dia marah dengan kenyataan tersebut terutamanya apabila melibatkan Zizi Kirana dan PU Rahmat.

Aku terasa hati betul dengan tulisan ‘story’ tentang mahram tu. Dia pun tak ada buat permohonan maaf. Bila dia kaitkan pula dengan Rahmat dan Zizi, memang aku marah.

“Mereka korbankan segalanya, tapi kau boleh bagi bayangan yang buruk dalam hal ini. Sepanjang masa kita tengok ‘live’, aurat dan kesucian mereka terjaga.

“Kenapa kau cakap macam tu? Mana hati perut kau?,” tulisnya melepaskan geram.

Tambah PU Amin lagi, dia turut menggesa bekas pereka fesyen itu memohon maaf kepada keluarga PU Rahmat dan Zizi.

Minta maaflah pada keluarga mereka. Memang lebihlah!,” tulisnya.

Terdahulu, tular tangkap layar Rizalman bersama pengikutnya yang berbual tentang isu Zizi dan PU Rahmat ditangkap tentera Israel yang mempersoalkan tentang wanita bermusafir tanpa ditemani mahram.

Menurutnya, bisikan qarin (syaitan) tetap ada bersama dan percaya perlunya ada mahram terutamanya saat merentasi samudera terbuka bersama ajnabi.

Kenyataan tersebut mengundang amarah rakyat Malaysia kerana dianggap tidak sensitif dengan musibah yang sedang dialami oleh para aktivis tersebut dan tidak menghormati perasaan keluarga mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok