‘Kalau nak sakitkan hati, aibkan orang, rujuk agama masing-masing’

CANTIK, berkarisma dan petah berkata-kata, namun di sebalik pesona itu Hawa Rizwana sering menjadi mangsa kritikan netizen yang tidak pernah jemu mencari kekurangannya.

Terbaharu, dia dikecam walaupun hanya menjadi pembawa dulang semasa majlis pernikahan pasangan selebriti, Amira Othman dan Fattah Amin.

Tidak jelas di mana silapnya sehinggakan netizen seolah-olah tidak berpuas hati dengan perkahwinan ‘FattMira’, lebih teruk dia diugut akan diboikot selain dinyah ikut dalam media sosial.

Selain Hawa, rakan artis seperti Wany Hasrita, Ernie Zakri, Anzalna Nasir dan Nabila Razali yang menggalas tugas sama turut terkena tempias kemarahan netizen.

Marah dan kesal, pemilik nama sebenar Hawa Rizwana Ahmad Redzuan menyifatkan pendirian netizen dalam soal keraian dan walimatulurus seperti yang dicerminkan para pembenci ‘FattMira’ jauh menyimpang daripada ajaran agama.

Saya sedih sebab pada akhirnya Islam tak ajar kita untuk mengaibkan orang lain atau cakap buruk. Kadang-kadang bukan fasal orang lain tapi apa-apa sahaja isu.

“Sebagai manusia ada benda kita suka, ada perkara kita tak suka. Kalau kita rasa apa kita cakap itu membawa kebaikan kepada negara atau orang lain okey saja.

Tapi kalau niat nak menyakitkan hati atau pun untuk perhatian dengan cara mengaibkan orang, saya rasa rujuk baliklah agama masing-masing.

“Bukan Islam saja, apa-apa agama pun tak mengajar kita cakap buruk,” katanya kepada HibGlam.

TERKENA tempias kebencian sesetengah netizen yang tidak senang melihat pernikahan pasangan selebriti Fattan Amin dan Amira Othman, Hawa menyifatkan situasi sebegitu sebagai satu bentuk kerendahan moral sesetengah masyarakat hari ini yang kononnya bijak dan serba tahu.

Pengacara berusia 30 tahun itu turut menasihati netizen agar mengawal diri daripada menulis perkara negatif supaya tidak menjadi ikutan generasi lebih muda.

“Saya kecewa bila ada yang gunakan aplikasi Threads untuk jadi batu api sengaja nak mengeruhkan keadaan.

“Kita kena tahu yang media sosial bukan untuk orang dewasa saja tapi budak-budak dan remaja pun guna.

Adakah ini benda yang hendak kita paparkan? Kita nak negara maju, tetapi kata-kata dalam media sosial pun tak jaga, pemikiran asyik fokus nak menjatuhkan orang lain, mengeruhkan keadaan. Macam mana nak jadi lebih baik?

“Bagi saya mulakan dengan diri sendiri dulu. Apa kata, daripada kita tulis, baik jangan buat, sebab kalau tulis orang lain baca tiada kesudahan,” ujarnya lagi.

Mengalihkan fokus daripada isu tersebut, Hawa berkongsi perkembangan terbaharunya yang kini menceburi bidang perniagaan.

“Bermula Februari saya baru lancarkan jenama tudung sendiri. Saya ada visi lain untuk jenama sendiri.

Tapi saya sedar bila kita kerja hakiki sebagai seorang pengacara, pelakon dan dalam masa sama ada kerja luar contoh kempen, bukan senang nak uruskan bisnes sebab memerlukan 300 peratus fokus.

“Orang sekeliling beritahu bukan mudah nak kendalikan semua benda pada masa sama sebab kerja kita kadang-kadang menuntut ke tempat lain,” jelasnya.

MAHU berjaya bukan hanya dalam karier seni dan penyiaran, Hawa turut menceburi bisnes melancarkan jenama tudung sendiri sejak Februari lalu.

Selepas terjun ke dalam bidang bisnes, pasti ada mulut-mulut nakal yang mendakwa anak kelahiran Amerika Syarikat itu cuba meniru langkah selebriti Neelofa.

Rezeki, minat

Enggan menghiraukan situasi memeningkan, Hawa bertegas, apa sahaja karier yang diceburi sememangnya berdasarkan minat, selain rezeki yang dibukakan Tuhan.

“Kalau ikutkan rancangan, habis latihan industri, saya nak sambung ijazah sarjana dan jadi pensyarah. Tapi saya dapat tawaran untuk menjadi penyampai berita TV9 dan kerja sepenuh masa sebagai wartawan.

Ketika itu juga saya sambung sarjana. Jadi saya putuskan untuk berhenti kerja sebagai wartawan. Alhamudlillah waktu itu ada kempen-kempen jenama cuma tak menentu.

“Bila dah lima tahun di sana, saya ditawarkan untuk mengacara program bawah Yayasan, Dialog Anak Muda, Radio Era, Astro Arena dan juga MeleTOP.

Itu rezeki yang datang bukannya saya buat untuk orang lain. Apa-apa yang saya buat, saya ‘go with the flow’ (ikut keadaan),” tuturnya.

Tidak mahu statik di takuk lama, Hawa mahu terus berkembang dalam pelbagai bidang.

“Saya tak nampak pun waktu itu diri saya sebagai seorang penyampai berita ataupun akan masuk dalam industri ini. Dalam kes saya, rezeki datang dan itu yang saya perlukan.

Dalam soal bisnes, rasanya semua orang buat perniagaan sekarang. Kita tengok kawan selebriti pun ada bisnes masing-masing.

“Itu minat, sebab itu rasa geram bila tak dapat nak buat semua benda sendiri atau tak dapat nak beri 100 peratus tumpuan.

“Saya mahu berkembang. Kita tak nak jadi statik, nak terus majukan diri dan belajar benda baharu,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok