Tugas saya sebagai ‘manager’ sudah berakhir – Sharifah Zarina

PESERTA program Talk To My Manager (TTMM), Sharifah Zarina dan anaknya Athalia menjadi pasangan pertama yang tersingkir secara rasmi dalam konsert suku akhir, malam tadi.

Athalia yang menyampaikan gabungan tiga lagu iaitu Mamma Mia, I Have A Dream dan Dancing Queen daripada kumpulan Abba mendapat markah tercorot iaitu sebanyak 64 peratus.

Zarina ketika ditemui usai tamat konsert berkata , tanggungjawabnya sebagai pengurus kepada anaknya sudah tamat dan dia kini mahu kembali fokus menerima tawaran kerja.

“Sebenarnya bila selalu berada di kedudukan tiga terbawah, kami sudah bersedia untuk tersingkir pada bila-bila masa. Kini tugas saya sebagai ‘manager’ telah tamat.

“Baru-baru ini saya ada terima tawaran drama 60 episod. Tetapi saya tolak kerana mahu memberi fokus kepada TTMM. Harap-harap mereka tawarkan kembali,” katanya.

Tersingkir pada minggu kelima, Zarina akui momen itu terasa bagaikan dejavu kerana ketika menyertai Gegar Vaganza musim pertama dahulu, dia turut tersingkir di minggu kelima.

Sementara itu bagi Athalia pula, dia bersyukur kerana biarpun tersingkir, persembahannya mendapat pujian daripada barisan juri.

“Saya sudah berikan yang terbaik pada minggu ini. Dan barisan juri pun beri komen positif. Tetapi rezeki kami hanya sampai di sini sahaja. Sekurang-kurangnya saya tersingkir dengan persembahan yang bagus bukannya teruk,” ujarnya.

Ditanya apakah perancangannya selepas ini, kata gadis berusia 22 tahun itu, dia mahu terus meneroka pelbagai cabang seni.

“Sebelum ini saya ada berlakon sebuah drama memegang watak heroin. Drama itu akan ditayangkan tidak lama lagi. Saya juga suka dengan bidang pengacaraan kerana saya seorang yang banyak cakap.

“Tetapi dalam masa yang sama saya masih belajar dalam bidang psikologi. Jadi saya perlu bahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya seni,” kongsinya.

Dengan tersingkirnya pasangan Sharifah Zarina dan Athalia, maka tinggal enam lagi pasangan yang akan berentap pada minggu separuh akhir TTMM iaitu Siti Saerah dan Amad, Shuib dan Thalita, Ameng dan Amar, Liza Hanim dan Marsya, Ina Naim dan Hadie serta Sharifah Sharifah dan Auddra. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok