SEJARAH tercipta, penyampai stesen radio Hot FM kembali melakar kejayaan apabila menakluk laut terbuka dengan bersiaran secara langsung di kedalaman 10 meter bawah paras laut di Pulau Bidong, Terengganu, hari ini.
Bekfes Hot Skuba yang disertai penyampai pagi, Khairy Jamaluddin atau KJ, Johan, AG dan Fara Fauzana diiktiraf sebagai Siaran Radio Secara Langsung Yang Pertama Dan Terdalam Disertai Penyampai Di Laut Terbuka.
Lebih membanggakan, keempat-empat personaliti radio berkenaan juga melepasi tempoh yang disasarkan iaitu sejam apabila mampu ke udara di dalam air selama 90 minit.
Pengarah Kandungan Kanan Hot FM, Raja Khairil Idris Raja Aznan, berkata, cabaran menawan dasar laut lari daripada kebiasaan selepas penyampai Bekpes Hot menakluk Gunung Kinabalu akhir tahun lalu.
“Selepas menawan puncak tertinggi di Malaysia, kami mahu mencabar diri dengan menawan ‘dunia sunyi’ di bawah laut.
Cabaran ini membuktikan semangat juang, keberanian, dan inovasi yang menjadi DNA Hot FM. Inilah carakami kekal relevan dan terus dekat di hati peminat,” katanya selepas majlis penyerahan sijil ASEAN Records.
Pengiktirafan ASEAN Records disampaikan Pengarah Eksekutif Eldrick Koh kepada Bekpes Hot serta Pengarah Rangkaian Kumpulan Media Prima Audio Shah Hayatudin, sebagai simbol kejayaan membanggakan ini.
Misi ekstrem yang dilakukan seawal pukul 10 pagi tadi disokong Stesen Penyelidikan Alami Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan UMT Diving School selain Unit Tindak Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Pengarah Program UMT, Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari berkata, kerjasama strategik ini membuktikan keyakinan industri media terhadap kepakaran UMT dalam bidang kelautan dan sumber marin, khususnya aktiviti selam skuba.
Katanya, inisiatif ini turut memperkukuh potensi Pulau Bidong di peringkat nasional dengan mencipta
pengalaman penyiaran bawah air yang unik serta bersejarah.
Kempen ini turut mencatat sejarah di 10 negara Asia apabila buat pertama kalinya siaran radio langsung dari dasar laut menjadi kenyataan.
“Lebih membanggakan, Hot FM turut menurunkan monumen berbentuk mikrofon dan studio mini bawah laut sebagai simbol kejayaan yang secara tidak langsung menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem marin,” katanya.
Sekali gus pencapaian diraih membuktikan keupayaan Hot FM menggabungkan hiburan, keberanian dan teknologi penyiaran dengan pendekatan yang belum pernah dicuba di rantau ini, selain mengukuhkan jenama Hot FM selaku peneraju industri penyiaran radio yang sentiasa mencabar sempadan baharu.
Terdahulu, perkongsian mengenai misi cadangan bersiaran dari dasar laut dalam media sosial Hot FM meraih lebih 4 juta tanda suka membuatkan mereka menyahut cabaran ini.
Susulan itu, semua penyampai giat melakukan latihan intensif dengan dibantu jurulatih profesional sebelum meneruskan misi Bekpes Hot Skuba ini.
Sebelum ini Hot FM menerima pengiktirafan MBOR di bawah kategori melakukan Siaran Radio Terpanjang dan Tanpa Henti di Gunung Kinabalu.
Stesen terbabit melakar sejarah apabila bersiaran selama 24 jam tanpa henti sepanjang ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu melalui kempen Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu pada November 2025. – HIBGLAM