‘Kalau tersingkir awal pun tidak mengapa, pelajaran lebih penting’

PERTANDINGAN belum pun bermula namun penyanyi Ameng mengakui tidak kisah sekiranya anaknya, Ammar Haikal, menjadi peserta pertama meninggalkan program realiti Talk To My Manager yang bakal memulakan siaran 24 Ogos ini.

Bukan tidak menaruh harapan tinggi, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 56, berkata, fokus utama tetap terarah kepada pelajaran anaknya, bukan mengejar kemasyhuran dalam usia muda.

“Saya bersyukur kalau dia tersingkir awal kerana sekurang-kurangnya dia dapat memberi tumpuan kepada pelajaran. Saya pun tidak lagi perlu berurusan dengan pengetua untuk minta surat pelepasan.

“Sebenarnya banyak komitmen diperlukan untuk sertai program ini. Namun insya-Allah, dengan bakat serta suaranya, saya percaya dia mampu bertahan beberapa minggu,” katanya kepada HibGlam.

Bagi vokalis kumpulan Spring itu, dia lebih senang andai putera bongsunya itu menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum serius dalam bidang seni.

Malah, Ammar, 18, dijadualkan menyambung pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bermula bulan ini.

“Kalau boleh, saya tidak mahu dia terlalu terikat dengan muzik buat masa sekarang kerana belum tiba waktunya. Lebih baik habiskan belajar dahulu, barulah fikir tentang kerjaya nyanyian.

“Walaupun berat hati, saya setuju dia sertai program ini sebagai tanda sokongan kepada produksi kerana saya percaya program seperti ini wajar diberi dorongan untuk terus berkembang,” luahnya.

Meskipun meletakkan keutamaan pada pendidikan, pelantun lagu Bougenvilla itu tidak menyekat andai anak-anak mahu mengikut jejak langkahnya sebagai anak seni.

“Saya beri kebebasan kepada anak-anak menentukan hala tuju hidup, asalkan tidak melampaui batas.

“Bagi saya, penting untuk tidak mencampuradukkan pelajaran dengan kerjaya seni. Bimbang dikejar tak dapat, dikendong berciciran,” tegasnya pada sidang media program terbaharu terbitan Astro, Talk To My Manager, di sini, semalam.

Talk To My Manager menampilkan barisan selebriti ternama berganding dengan anak masing-masing dalam pertandingan yang menguji kemahiran, kreativiti dan daya ketahanan.

Setiap minggu, pasangan peserta akan bekerjasama rapat di bawah bimbingan selebriti yang juga ibu atau bapa mereka, bertindak sebagai pengurus untuk membentuk anak menjadi penghibur profesional.

Selain Ameng dan Ammar, program ini turut menampilkan pasangan lain seperti Siti Saerah & Amad Aziz, M. Osman & Ara Aziz, Sharifah Shahirah & Auddra, Shuib & Thalita, Sharifah Zarina & Athalia, Ina Naim & Hadie serta Liza Hanim & Marsya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok