‘Kalau saya tiada Watie, tak tahu apa akan berlaku’

MESKI sudah hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga, pelawak Shuib terharu melihat layanan yang diberikan isterinya, Watie Hanifiah terhadap empat orang anaknya.

Shuib atau nama penuhnya Shahmira Muhammad, 41, berkata, paling menyentuh hatinya apabila menyaksikan cara Watie menjaga Thalita yang melecur pada bahagian muka dan tangan akibat terkena minyak panas.

“Bila kejadian sebegini jadi, Watie main peranan sangat besar. Saya suka tengok dia.

“Ketika tangan Thalita melecur tempoh hari, dia hanya mahu Watie duduk temaninya sahaja sehingga ubat pun tak boleh ambil.

“Saya jadi terharu dan seronok pun ada. Kalau saya tiada dia, tak tahu apa akan berlaku,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran restoran Sepah Penyet di sini, hari ini.

Bukan sahaja Thalita, Shuib berkata hubungan anak ketiganya dengan Watie mula akrab selepas membantu membersihkan telinga Matin yang dijangkiti bakteria.

“Dahulu ada kejadian telinga kanan Matin dimasuki air dan dijangkiti bakteria fungus.

“Setiap hari Watie dengan penuh sabar korek dan membersihkan telinga Matin yang ketika itu tersumbat dan hampir pekak selama sebulan.

“Sejak kejadian itu, Matin jadi ‘fall in love’ dengan Watie. Bila tanya kenapa sayang mummy, dia akan jawab sebab Watie menjaganya,” ujarnya.

Berkongsi perkembangan kesihatan Thalita, Shuib berkata anak perempuan tunggalnya itu kini dalam proses penyembuhan selepas menerima rawatan daripada doktor.

“Saya tak sangka sebenarnya kejadian terkena minyak panas itu sangat besar sebab Watie pun sampai panik.

“Malam itu mungkin satu Puchong dengar jeritan Thalita, dia pula memang kuat drama tetapi saya tahu mesti sangat sakit.

“Lepas bawa pergi klinik, doktor beri ubat. Bahagian luka tak boleh kopek, insya-Allah akan ganti dengan kulit baru. Selepas sebulan mungkin akan okey,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sepah Penyet yang dibuka secara rasmi di Presint 15, Putrajaya hari ini merupakan cawangan kedua restorannya selepas MITC, Melaka.

Sepah Penyet merupakan restoran hasil kerjasama dengan rakan baiknya yang juga pelawak, Mamat.

Pada 7 Ogos lalu, Thalita berdepan detik cemas apabila terkena minyak panas ketika membantu Watie memasak kelmarin.

Menurut Watie, kejadian tersebut berlaku ketika pemilik nama penuh Dzahira Thalita Zahra, 12, itu membantunya menggoreng kentang dan minyak panas di dalam kuali meletup selepas dipercayai terkena air. –

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok