Saja tinjau dewan, tak ‘locked’ pun – Erra Fazira

HEBOH tarikh pernikahan dikatakan semakin hampir, pelakon Erra Fazira mengakui sudah meninjau beberapa dewan acara namun belum membuat sebarang tempahan.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, berkata, kunjungan ke lokasi tersebut juga atas ajakan kenalan yang ingin menunjukkan kepadanya keistimewaan premis perniagaan mereka.

“Tidak dapat dinafikan ada desas-desus (kahwin), jadi kita sajalah tinjau tempat (dan) kawan-kawan pun bagi cadangan lokasi menarik. Mereka pun tahu kita dalam fasa berkawan yang membuatkan orang syorkan tempat (kenduri).

Kami okey, ‘take note’ tapi macam saya katakan langkah seterusnya masih lagi memerlukan doa semua. Kami tak ‘locked’ pun dewan.

“Nak kata dekat tarikh (nikah) belum lagi, saya susah nak cakap. Benda ini (kahwin) serius. Kalau ye, famili tahu dah,” katanya kepada HibGlam.

Masih berteka-teki mengenai spekulasi bakal ke gerbang perkahwinan dengan usahawan, Ezwan Zain, 44, Primadona Filem Melayu Alaf Baru itu tidak menafikan banyak pihak menghubunginya untuk menaja perkahwinan mereka.

“Apabila timbul khabar bakal berkahwin, banyak pihak ‘approach’ nak masuk (taja), tanya macam-macam.

Kita terbuka, kalau nak kita dengar sahaja isi kertas cadangan tapi selebihnya adalah doa ramai.

“Apa pun saya syukur dan berterima kasih kepada yang berminat nak taja. Mungkin mereka dengar kami berkawan dah ke arah itu (kahwin), waullahualam,” ujarnya.

Terdahulu, ada sumber mendakwa aktres dan penyanyi itu bersama Ezwan atau dikenali sebagai Mr. E memilih Oktober 2025 sebagai tarikh hari bahagia mereka.

Bahkan, terdapat pihak yang memaklumkan pasangan terbabit juga sudah memilih tempat pernikahan selepas meninjau beberapa lokasi.

Sebelum ini Erra memaklumkan persahabatan yang semakin akrab sekitar awal tahun ini sudah sampai ke pengetahuan keluarga apabila ibunya bertemu Ezwan.

Terdahulu, Ezwan mengakui mula menjalinkan hubungan serius dengan ratu cantik itu selepas berkenalan pada Ogos 2024.

Erra pernah berkahwin dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah tujuh tahun kemudian. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun.

Sebelum itu, Erra juga pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun berakhir dengan perceraian tiga tahun kemudian tanpa cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok