PENYANYI Datuk Nora Ariffin mengakui pernah hilang semangat untuk berniaga selepas dihina secara terbuka oleh netizen gara-gara isu rumah tangga.
Ujar Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin 53, tindakan netizen meninggalkan komen berbaur fitnah ketika dirinya berniaga secara siaran langsung dalam media sosial benar-benar menekan emosi.
Suatu hari ketika saya buat live, ada yang komen ‘ini pes penyondol tu ke? Saya tak nak beli, nanti kalau saya makan saya jadi penyondol’.
“Sakit sangat. Saya dah tak nak buat live. Saya dah tak sanggup, dah tak kuat. Perkataan itu sangat menyakitkan,” katanya dalam podcast Hidup Ini Keras.
Tambah pelantun lagu Samudera itu, walaupun sebelum ini mampu menjual 20 hingga 30 pek pes makanan sehari, dia terpaksa berhenti seketika demi menjaga kestabilan emosi.
Saya tak malu berniaga. Kalau satu hari nanti perlu berniaga nasi lemak tepi jalan pun saya reda.
“Bagi saya, rezeki itu datang dalam pelbagai cara. Tapi bila ada yang hina dan maki, saya ambil masa untuk bangkit semula,” jelasnya.
Ibu empat anak itu turut berkongsi bahawa tekanan emosi yang dirasai menjadi antara sebab dia memilih untuk mengakhiri rumah tangga dengan suaminya, Dr. Rushdi Ramli.
“Itu juga antara sebab saya cakap kepada Rushdi, tak mengapalah. Mungkin ini sudah ketentuan Allah.
Saya tak mampu untuk berterusan begini. Kita andaikan jodoh sampai di sini, Allah lebih tahu,” luahnya.
Terdahulu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 21 April lalu bagi memfailkan permohonan perceraian. Mereka berkahwin hujung tahun 2021.
Sebelum itu, Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi dan dikurniakan empat cahaya mata. Johan meninggal dunia pada 2017 akibat serangan jantung. – HIBGLAM