DI sebalik lampu neon yang berkelip dan sorakan peminat fanatik, dunia selebriti Korea rupa-rupanya menyimpan kisah cinta terlarang yang tidak seindah lakonan mereka di layar.
Bukan sahaja meniti di bibir netizen, kisah cinta itu turut membuka pekung soal moral dan batas kemanusiaan apabila melibatkan remaja bawah umur.
Hubungan yang terbina dalam senyap, namun akhirnya meletup bagai bom jangka. Ada cinta yang dirahsiakan bertahun lamanya, ada pula yang didedahkan dengan nada bersahaja, seolah tiada apa yang salah.
Kimchi Panas minggu ini membongkar lima selebriti Korea yang pernah terpalit percintaan melibatkan remaja bawah umur dan kisah silam yang meninggalkan luka besar dalam landskap hiburan Asia.
Yang Hyun-suk
Pengasas YG Entertainment ini cukup licik bersembunyi di sebalik imej ‘peneraju K-pop’. Namun satu kisah lama yang masih menjadi perdebatan ialah percintaan panjangnya bersama bekas anggota Swi.T, Lee Eun-ju.
Mereka bercinta selama hampir sembilan tahun sebelum mendirikan rumah tangga pada 2010.
Namun apa lebih mengejutkan apabila Yang mengakui sudah menaruh hati sejak Eun-ju berada di tingkatan dua sekolah menengah.
Kenyataan itu membangkitkan persoalan sama ada lelaki berusia 55 tahun itu menanti masa sesuai atau sejak awal telah memupuk benih hubungan dari usia yang terlalu muda.
Kim Soo-hyun
Bintang utama siri popular Queen of Tears ini pernah dipuja sebagai aktor kesayangan ramai. Berbakat besar dan diburu pengarah dan jenama ternama seperti Prada serta Dinto, Kim Soo-hyun adalah simbol kejayaan industri lakonan Korea.
Segalanya berubah sekelip mata selepas kematian mengejut bekas kekasihnya, Kim Sae-ron pada 16 Februari 2025 yang juga tarikh ulang tahun ke-37 aktor tinggi lampai itu.
Pelakon wanita itu ditemui tidak bernyawa di kediamannya dan siasatan awal mendakwa kematiannya berpunca daripada tekanan ‘cancel culture’ sebagai.
Namun lebih menggemparkan apabila laporan pasca-kematian mendakwa hubungan cinta antara mereka bermula sejak 2015 ketika Sae-ron baru berusia 15 tahun, manakala Soo-hyun pula 27 tahun.
Selama enam tahun, hubungan rahsia mereka dianggap sebagai bentuk grooming dan penyalahgunaan kuasa selebriti, semua itu menjadi punca penolakan jenama besar, manakala ruangan media sosialnya pula dibanjiri kecaman netizen.
Sandara Park
Idola jelita ini terkenal dengan imej ‘baby face’ dan personaliti bersahaja.
Namun video vlog di saluran DARA TV memadam semua aura ‘comel’ itu apabila Sandara membuat pengakuan mengejutkan tentang kisah cinta silamnya.
Ketika berusia 19 tahun, dia mengakui menjalin hubungan cinta dengan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.
Kenyataan itu mengundang kemarahan peminat yang menyifatkannya sebagai tidak bermoral, walaupun hubungan itu berlaku sebelum kemunculan kumpulannya 2NE1.
Ada yang menggelar tindakan Sandara sebagai manipulatif, malah melabelnya tidak bertanggungjawab.
Young J
Sebagai ketua kumpulan tari JUST JERK yang popular menerusi ‘Street Man Fighter’, nama Young J tidak asing di arena hiburan.
Namun kariernya terpalit lumpur apabila dikaitkan dengan cinta terlarang.
Menurut laporan, jejaka berusia 28 tahun itu menjalinkan hubungan sulit dengan seorang peserta Street Girls Fighter 2 yang masih bawah umur ketika itu.
Remaja itu kemudian tampil mendedahkan hubungan mereka termasuk dakwaan kehamilan dan pengguguran kandungan.
Akibatnya, beberapa ahli JUST JERK meninggalkan kumpulan, manakala Young J mempertahankan diri walaupun reputasinya hampir musnah.
Choi Minhwan
Perjalanan cinta Choi Minhwan dengan anggota kumpulan LABOUM, Yulhee bermula seperti kisah dongeng. Mereka muda, cantik dan terkenal. Namun saat fakta usia mula dikorek, etika percintaan mereka dipersoal.
Ketika hubungan diumumkan pada 2017, anggota kumpulan FT Island itu berumur 24 tahun, manakala Yulhee, 19, masih bawah umur dalam sistem perundangan Korea Selatan.
Mereka kemudian berkahwin pada 2018 selepas kelahiran anak pertama. – HIBGLAM