‘Jadi artis tak sekadar popular’ – KJ tegur selebriti bermasalah

KECOH  isu selebriti terpalit kes jenayah seksual, politikus kini juruhebah Hot FM, Khairy Jamaluddin menasihatkan figura awam termasuk golongan artis supaya sentiasa bertanggungjawab dan menjaga tingkah laku sama ada secara rela hati atau penuh keterpaksaan.

Khairy yang mesra disapa KJ, 49, berkata, walaupun realiti itu pahit ditelan namun hakikatnya gelaran selebriti atau individu dikenali datang bersama tanggungjawab besar iaitu menjaga tingkah laku dan imej diri.

“Apabila kita berada dalam dunia hiburan, suka atau tidak, kita akan jadi suri teladan.

“Saya bukan kata kita patut idolakan artis, tapi lumrahnya mereka akan ada peminat. Bila berada di kedudukan itu, baik artis mahupun ahli politik, kita kena jadi watak contoh,” katanya kepada HibGlam.

Tambah bekas Menteri Kesihatan itu, kesukaran menjadi figura awam adalah apabila segala kisah peribadi mudah menjadi santapan umum, sekali gus menguji kekuatan mental seseorang.

“Itu yang saya maksudkan bila saya kata bukan mudah jadi selebriti. Setiap orang ada kisah peribadi dan bila dikenali, kisah itu akan jadi perhatian.

“Itu antara pengorbanan terbesar dan harga yang perlu dibayar apabila dikenali,” ujarnya.

Mengulas isu artis yang menyalahgunakan kepercayaan peminat, KJ enggan memberikan komentar terhadap mana-mana kes tular baru-baru ini, namun menegaskan prinsip asas tetap perlu dijaga.

“Biarlah siasatan dibuat. Tapi secara umumnya, sebagai figura awam kita kena jaga tanggungjawab, jaga adab dan hormat peminat,” tegasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran menu baharu Tealive di sini, hari ini.

Terdahulu, industri hiburan tempatan digemparkan dengan penahanan seorang penyanyi dan pelakon lelaki popular selepas didakwa terbabit dalam kes amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Mangsa difahamkan mengenali artis terbabit ketika bekerja di sebuah kafe sebelum hubungan mereka berlarutan hingga ke beberapa pertemuan peribadi.

Dalam perkembangan lain, KJ hadir merasmikan pelancaran produk jenama tempatan itu untuk sebagai tanda sokongan terhadap inovasi dan semangat keusahawanan anak muda. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok