‘Minta izin sebelum dukung anak saya, pastikan tangan bersih’

Mengambil langkah berjaga-jaga, pelakon Puteri Aishah sangat menitikberatkan kebersihan seseorang sebelum mendekati anak sulungnya, Muhammad Faliq.

Pemilik nama lengkap Puteri Aishah Sulaiman, 31, itu berkata, pendekatan berkenaan diambil kerana tidak mahu insiden puteranya masuk hospital berulang.

“Tolonglah faham, saya bukannya tidak izinkan kawan-kawan atau ahli keluarga pegang anak saya.

“Tetapi tolong pastikan awak semua tidak merokok dan tangan dalam keadaan bersih.

“Anak saya pernah masuk NICU (Unit Rawatan Rapi Neonatal) disebabkan orang luar menciumnya berulang kali,” katanya dalam sebuah hantaran InstaStory.

Pada masa sama, Aishah turut menasihati orang ramai supaya lebih peka tentang kesihatan dan meminta izin terlebih dahulu sebelum menyentuh anaknya.

“Tolong faham perkara ini dan minta izin terlebih dahulu sebelum nak dukung anak saya.

“Kalau saya tidak izinkan, tolong jangan terasa.

“Kadang-kadang mood dia pun tidak menentu. Kalau menangis bukannya awak pujuk, saya juga yang kena buat,” ujarnya lagi.

TANGKAP layar perkongsian Puteri Aishah yang berharap orang ramai lebih cakna perihal kesihatan anak kecilnya. 

Aishah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus pada November 2021.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Faliq pada 4 April tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok