DERETAN pemenang Anugerah Golden Globes ke-82 sudah diumumkan Ahad lalu dengan menyaksikan Emilia Perez, The Brutalist dan Shogun membawa pulang banyak trofi.
Antara fokus utama khalayak adalah nilai barangan dalam beg hadiah buat pemenang serta finalis pada acara berprestij Hollywood itu.
Beg hadiah rona 2025
Bagi edisi kali ini, tas tangan rona ‘chocolate mousse’ iaitu warna tahun 2025 versi Pantone dipilih penganjur sebagai beg hadiah yang mencerminkan keabadian dan ‘trendy’.

PASUKAN produksi filem muzikal komedi, Emilia Perez menang besar apabila membawa pulang empat trofi termasuk Filem Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita menerusi Zoe Saldana, Filem Bahasa Asing dan Lagu Asal.
Walaupun harga beg tersebut hanya RM4,500, nilai produk di dalamnya dianggarkan melebihi RM4.5 juta meliputi koleksi minuman keras berjenama dan makan malam dianggarkan sekitar RM1.2 juta.
Selebriti yang suka mengembara pasti teruja menikmati pengalaman melihat aura di Finland menaiki jet persendirian bernilai RM180,000, bercuti Maldives (RM150,000) atau ke pulau lain termasuk Bali, Caribbean dan Australia mencecah puluhan ribu ringgit.
Cenderahati berupa barangan kecantikan serta produk kesihatan juga hebat seperti rawatan Stemcell Facelift (RM130,000), mesin pengisar injakan (RM67,000) serta cadar linen (RM50,000)
Begitupun, setiap beg diisi baucar berbeza terutama untuk pemenang yang pastinya mendapat hadiah lebih mewah.

PAKEJ menikmati keajaiban aurora di Finland antara ole-ole disertakan dalam beg hadiah Golden Globes.
Bukan hanya calon bagi setiap kategori serta tetamu VVIP, jemputan lain difahamkan turut menerima beg sama tetapi mempunyai isi berbeza.
Tahun ini syarikat Robb Report ditugaskan menguruskan beg hadiah yang setiap satu bernilai lebih sekali ganda berbanding edisi terdahulu.
Kelas tersendiri
Presiden Robb Report and Penske Media Corporations, Luke Bahrenburg berkata, pihaknya berbesar hati diamanahkan untuk menyediakan cenderahati buat tetamu anugerah terbabit.

AKTRES Demi Moore meraih trofi pertama selepas 45 tahun dalam industri menerusi filem
The Substance.
“Koleksi yang diberikan tahun ini menggambarkan kemewahan dengan menawarkan produk serta perkhidmatan serba gah daripada jenama ikonik, sekali gus menyajikan pengalaman terindah buat penerima.
“Percutian ke destinasi luar biasa mahupun penginapan enam bintang sehinggalah barangan kegunaan peribadi, kesemuanya ada kelas tersendiri,” katanya.
Difahamkan, pemberian beg hadiah yang semakin mahal nilainya antara cara menjadikan Anugerah Golden Globes setara Anugerah Academy.
Sejak dahulu, majlis penganugerahan Oscar yang memasuki edisi ke-97 terkenal dengan ‘goodies bag extravaganza’ bernilai jutaan dolar.
Langkah dilakukan penganjur dengan menawarkan produk mewah sebagai cenderahati dilihat mampu menjadikan Golden Globes pesaing ideal kepada Academy Awards. – HIBGLAM