KEJUTAN besar berlaku di Anugerah Academy ke-97 apabila aktres yang disebut-sebut bakal merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik, Demi Moore tewas kepada Mikey Madison dalam acara yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat sebentar tadi.
Kekalahan Demi yang dicalonkan menerusi filem The Subtance telah membangkitkan kemarahan netizen yang merasakan dia calon yang paling layak untuk membawa pulang anugerah berprestij itu.
Saya menonton Oscar tahun ini semata-mata mahu menyaksikan kemenangan Demi. Oh tuhanku. Ini adalah salah,” komen salah seorang netizen yang tidak berpuas hati.
Kemenangan Demi dalam beberapa acara anugerah sebelum ini seperti Golden Globes, Critic’s Choice dan Screen Actors Guide telah membuatkan netizen yakin dia bakal merangkul trofi Oscar kali ini.
Lebih menambah luka di hati peminat Demi apabila Mikey Madison yang menang menerusi wataknya sebagai pelacur dalam filem Anora itu baru berusia 25 tahun sedangkan Demi 63 tahun.
Mikey sewaktu menerima anugerah tersebut berkata dia berasa gugup dan seakan tidak percaya kemenangan berpihak kepadanya.
Maafkan saya. Saya sungguh gementar. Kemenangan ini bagaikan mimpi menjadi kenyataan. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan filem Anora. Juga kepada komuniti pekerja seks. Saya akan sentiasa menyokong anda. Pengalaman bekerjasama bersama anda adalah antara yang terbaik dalam kerjaya saya,” katanya.
Filem Anora telah merangkul lima trofi pada Anugerah Academy tahun ini termasuklah anugerah Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik. KOSMO! ONLINE