‘Hanya kawan’ – Sherie tak selesa digosipkan bercinta Hasnul

“Tiada cinta, kami cuma teman baik.”

Itu penegasan pelakon Sherie Merlis mengenai hubungannya dengan aktor Hasnul Rahmat yang tular apabila disangka sebagai pasangan kekasih.

Saling memahami, Sherie atau nama sebenarnya Sharifah Saadah Wan Zainal Kassim, 53, menyifatkan Hasnul sebagai seorang teman sejati yang sentiasa ada untuk memberi sokongan pada saat diperlukan.

“Kami hanya berkawan. Sebagai pelakon, sukar sebenarnya untuk mencari sahabat sejati kerana jadual kerja yang tidak menentu.

“Bila saya dengan Hasnul ini, saya akui dia seorang kawan yang baik. Kami saling memberikan sokongan terhadap satu sama lain.

“Ada juga waktu yang kami memang tidak dapat berjumpa sebab masing-masing ada kerja tetapi kita sama-sama boleh memahami,” katanya kepada HibGlam.

Kata pelakon drama Nenek Bongkok Tiga itu, persahabatan mereka bukan sahaja sudah lama terjalin lama, bahkan sejak dia belum mendirikan rumah tangga lagi.

Baginya, sikap pelakon filem Papa itu yang setia sebagai sahabat wajar dihargai.

“Dari sebelum saya berkahwin, kami sudah berkawan baik. Ketika itu, Hasnul juga mempunyai kekasih. Walaupun kini melalui pelbagai fasa kehidupan, kami tetap sahabat.

“Hasnul seorang insan yang baik dan bertahan sebagai kawan saya selama ini. Siapa yang mampu buat begitu memang sangat saya hargai,” ujarnya pada majlis tayangan perdana filem Bisikan Dosa, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2012 itu tidak menafikan rasa kurang selesa apabila muncul dakwaan bahawa mereka sedang menjalin hubungan cinta, terutama selepas dia kembali solo.

“Saya tak selesa bila orang membuat spekulasi kami bercinta. Untuk perkara seperti ini, tidak adil jika hanya saya memberi komen. Anda perlu bertanyakan juga kepada Hasnul.

“Kami tidak mencari publisiti atau sensasi. Apa yang boleh saya katakan, hubungan kami hanya persahabatan,” tegasnya.

Terdahulu, Sherie pernah berkahwin dengan pelakon Esma Daniel pada 1992 namun bercerai lima tahun selepas mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Habib Daniel, 30, dan Harith Daniel, 29.

Dia kemudiannya bernikah dengan penerbit muzik Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd. Shahid atau lebih dikenali sebagai Ash pada 2 Januari 2012.

Bagaimanapun, mereka didakwa sudah berpisah pada Disember 2023 selepas Ash memuat naik hantaran memberitahu dia kini bergelar bapa tunggal.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tengku Kaseh Anaqah, 13, dan Tengku Areef Bolkiah As Syafiee, 11.

Sejak itu, nama Sherie dan Hasnul sering dikaitkan bersama kerana kerap dilihat keluar berdua sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi tentang status hubungan mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok