Golden Globes ke-82; Emilia Perez, Shōgun bolot trofi

MENEPATI ramalan, Emilia Perez menang besar apabila membawa pulang empat trofi termasuk Filem Terbaik – Muzikal atau Komedi pada Anugerah Golden Globe Ke-82 yang berlangsung di Hotel Beverly Hilton, Beverly Hills, California, pagi tadi.

Naskhah dalam bahasa Sepanyol arahan sutradara asal Perancis, Jacques Audiard itu menewaskan pesaing terdekat iaitu Anora, Challengers, A Real Pain, The Substance, dan Wicked.

Tiga lagi kemenangan diperoleh karya terbitan Netflix itu adalah Pelakon Pembantu Wanita menerusi Zoe Saldana; Filem Bahasa Asing dan Lagu Asal Terbaik.

Audiard, 72, berkata Emelia Perez didedikasikan buat semua wanita seluruh dunia bagi menyuntik semangat persaudaraan.

“Saya tiada saudara perempuan, jadi mungkin ini sebabnya saya merealisasikan filem tentang persaudaraan.

“Jika lebih ramai adik perempuan di dunia, mungkin dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik.

“Kepada semua wanita di luar sana, semoga anda berada di tempat yang lebih baik dan teruskan berjuang,” katanya ketika memberikan ucapan.

Emilia Perez mengisahkan seorang ketua kartel dadah Mexico yang ingin beralih kepada kehidupan pelik iaitu sebagai wanita seperti diidamkan selain memingta bantuan peguam bagi merealisasikan hajat terbabit.

Filem tersebut dikatakan berpotensi menonjol apabila pencalonan terbanyak di Anugerah Golden Globes 2025 iaitu dalam 10 kategori.

Menyusul di belakang Emilia Perez adalah The Brutalist yang diangkat sebagai Filem Terbaik – Drama manakala sutradaranya, Brady Corbet meraih gelaran Pengarah Terbaik.

Lebih manis kemenangan filem terbabit turut dilengkapkan kemaraan bintang utamanya, Adrien Brody yang diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.

Turut melakar sejarah peribadi pada acara pengiktirafan tahunan terbabit ialah  teraju filem I’m Still Here, Fernanda Torres yang meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik.

Torres mengejutkan ramai sebaik mampu mengenepikan ramai bintang tersohor Nicole Kidman, Angelina Jolie dan Kate Winslet melalui lakonannya dalam drama era 70-an itu.

Pelakon Brazil itu mendedikasikan anugerah diraih kepada ibunya, juga aktres Fernanda Montenegro, yang dicalonkan di Golden Globes 25 tahun lalu untuk peranannya dalam Central Station.

Aktres senior yang sudah 45 tahun dalam industri, Demi Moore juga mencipta kenangan bermakna sebaik dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik kategori Filem Muzikal atau Komedi menerusi The Substance, mengalahkan Cynthia Erivo dan Mikey Madison.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat Moore, 62, selepas hampir lima dekad bergelar anak seni.

Kategori Filem Animasi pula dimenangi Flow yang menewaskan Inside Out 2, The Wild Robot, Moana 2, Wallace & Gromit: Vengeance Most Fowl dan Memoir of a Snail.

Sebastian Stan yang kalah dalam kategori Pelakon Lelaki untuk Filem – Drama memenangi trofi Golden Globe bagi kategori sama dalam Muzikal atau Komedi bagi naskhah bertajuk A Different Man.

Satu lagi terbitan Netflix berjudul Baby Reindeer turut membawa pulang dua anugerah iaitu Drama Bersiri Popular dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik TV, Jessica Gunning.

Sementara itu, kisah epik sejarah berjudul Shōgun mendominasi kategori Drama TV bersama tiga trofi iaitu Pelakon Lelaki Terbaik (Hiroyuki Sanada),Pelakon Wanita Terbaik (Anna Sawai) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Tadanobu Asano).

Kategori TV yang turut menjadi tumpuan adalah kemenangan Jodie Foster menerusi naskhah True Detective: Night Country, manakala Colin Farrell pula raih gelaran Pelakon Lelaki Terbaik hasil lakonan mantap dalam The Penguin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok