ISU lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan masyarakat dilihat semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan generasi muda.
Selain kurang penghayatan agama dan pengaruh rakan sebaya, media sosial juga sedikit sebanyak mendorong seseorang individu terjebak.
Banyak naskhah tidak kira sama ada filem, drama mahupun lagu terutama dari negara luar yang menyuntik elemen tersebut.
Kali ini, Kimchi Panas menyenaraikan karya Korea Selatan yang mempunyai unsur hubungan songsang sehingga mampu membuatkan generasi muda terpesong.
Squid Game 2
SIAPA sahaja yang tidak mengikuti naskhah popular Squid Game 2 yang baru dilancarkan Disember tahun lalu.
Rata-rata penonton menyukai siri Netflix tersebut tetapi tanpa sedar karya terbabit sempat menyelitkan adegan berunsurkan LGBT.
Masalah sosial tersebut turut terselit dalam Squid Game 1 dan kali ini mereka memperkenalkan bekas sarjan Cho Hyun-Jo (pemain 120) lakonan Park Sung-hoon yang memegang watak seorang transgender.
Ramai memuji kehebatan lakonan pelakon itu yang kelihatan sangat positif dan kuat sepanjang tujuh episod.
Macam mana hebat sekalipun, perubahan penampilan lelaki kepada wanita mampu mempengaruhi minda anak-anak muda yang terdorong melakukan perkara sama.
Kalau baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Begitulah kita sebagai penonton.
Wedding Impossible
NASKHAH Wedding Impossible terus mendapat perhatian ramai apabila menonjolkan watak utama sebagai lelaki homoseksual.
Drama ini berkisar tentang Na Ah-jung (Jun Jong-seo), seorang pelakon yang kurang terkenal dan memiliki sahabat kaya-raya, Lee Do-han (Kim Do-wan).
Do-han sebenarnya seorang lelaki homoseksual dan tiba-tiba keluarganya meminta untuk berkahwin. Jadi, dia berpura-pura bernikah dengan Ah-jung.
Naskhah ini mengangkat unsur LGBT apabila watak utama terpaksa berkahwin demi memenuhi keinginan keluarga walaupun dirinya suka sesama jenis.
Selain LGBT, drama ini turut memasukkan elemen penipuan apabila karakter-karakter terpaksa melakukan perkahwinan palsu demi kepentingan diri.
Pyramid Game
SEBULAN sekali, pelajar di Sekolah Menengah Perempuan Baekyeon perlu membuang undi untuk meninjau populariti dan menentukan hierarki sosial sekolah.
Difahamkan penonton di Korea Selatan menyukai penonjolan watak lesbian sepanjang permainan piramid dijalankan.
Bagaimanapun, situasi tersebut seharusnya tidak boleh ditonton terutama kepada pelajar sekolah yang boleh terikut dengan budaya luar.
Fragile
Drama Fragile adalah antara karya yang tidak patut ditonton kerana bukan sahaja mengandungi unsur LGBT, bahkan menyelitkan perbuatan buli dan pengkhianatan.
Fragile adalah siri sekolah menengah Korea dengan subplot percintaan lelaki tersembunyi.
Lebih teruk, naskhah ini juga mengandungi babak lelaki mencium sesama sendiri sekali gus menjadikannya tidak perlu ditonton lebih-lebih lagi buat pelajar sekolah yang mudah terpengaruh. – HIBGLAM