‘Kami belum layak dianugerahkan gelaran Biduan Negara’

KAMI belum layak untuk dianugerahkan gelaran Biduan Negara”.

Itu respons kumpulan muzik terkenal, KRU tentang cadangan netizen mereka layak diiktiraf Biduan Negara selepas Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan Tan Sri SM Salim.

Menurut anggotanya, Datuk Yusry Abdul Halim, KRU tidak pernah berkarya untuk mengejar anugerah malah berasakan ada lebih ramai penyanyi lebih layak untuk dikalungkan pengiktirafan itu.

Apa sahaja yang kami lakukan dalam bidang seni bukan untuk mengejar anugerah atau pujian. Kami buat atas dasar cintakan seni. Untuk diberikan anugerah Biduan Negara kami rasa kami tidak layak. Ramai lagi yang lebih layak,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Datuk Norman pula, setakat ini belum pernah anugerah tersebut diberikan kepada artis berkumpulan.

“Selalunya anugerah tersebut diberikan kepada penyanyi individu. Belum pernah diberikan kepada artis berkumpulan,” katanya sambil ketawa.

Bagi Edry, pula tidak pernah terlintas dalam fikiran KRU dianugerahkan gelaran Biduan Negara.

Saya sering ditanya bila akan dapat gelaran Datuk seperti abang-abang saya. Saya buat muzik bukan untuk kejar apa-apa gelaran. Tetapi bila orang nak beri penghargaan, kita terima sahaja,” jelasnya.

Namun kata Yusry, seandainya diberikan sebarang anugerah bagi mengiktiraf hasil karya mereka, akan terima dengan hati yang terbuka.

Bila difikirkan semula, kami masih mempunyai ibu bapa. Mak saya bangga setiap kali anak-anaknya mendapat pengiktirafan. Jadi, kalau kami terima pun, atas dasar ingin membahagiakan ibu dan bapa kami,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, KRU baru sahaja mengumumkan bakal mengadakan konsert berskala besar pada 3 Mei 2025 bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok